ATM penuhi impian penduduk

Ismail Sabri (tengah) ketika menyempurnakan simbolik perasmian jambatan di Kampung Sungai Putat, Jerantut pada Sabtu.
Ismail Sabri (tengah) ketika menyempurnakan simbolik perasmian jambatan di Kampung Sungai Putat, Jerantut pada Sabtu.
A
A
A

JERANTUT - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya merealisasikan hasrat 1,000 penduduk melibatkan tiga kampung di sini mempunyai jambatan yang lebih selesa untuk kegunaan mereka.

Jambatan Compact Bailey 100 menjadi hadiah paling bermakna menjelang Aidilfitri khususnya buat penduduk di Kampung Sungai Putat, Kampung Doja dan Kampung Sungai Yap.

Sebelum ini, jambatan asal, Sungai Beletir yang digunakan mereka mengalami kerosakan teruk akibat musim tengkujuh pada awal tahun ini.

Paling manis, jambatan itu dirasmikan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kampung Sungai Putat di sini pada Sabtu.

Ismail Sabri berkata, pemasangan jambatan tersebut merupakan salah satu usaha ATM dalam membantu memulihkan laluan utama penduduk di tiga perkampungan terlibat untuk ke bandar, pelajar ke sekolah dan membawa hasil pertanian.

“ATM melalui Tentera Darat Malaysia telah mengatur gerak anggota dan pegawai melibatkan dua pegawai serta 58 anggota RAJD dari Skuadron Ke-9 RAJD serta Skuadron Ke-11 RAJD (Mekanize) bermula 28 April lalu.

Penduduk Kampung Sungai Putat khususnya dan dan dua lagi kampung berhampiran kini boleh menarik nafas lega selepas jambatan sedia ada telah digantikan dengan Jambatan Compact Bailey 100.
Penduduk Kampung Sungai Putat khususnya dan dan dua lagi kampung berhampiran kini boleh menarik nafas lega selepas jambatan sedia ada telah digantikan dengan Jambatan Compact Bailey 100.

“Ia juga hasil kerjasama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dikoordinasi oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Kampung Sungai Putat di sini.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Ketua Jurutera, Mejar Jeneral Datuk Pahlawan Ir Chapiti Redzwan dan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah.

Ismail Sabri berkata, struktur jambatan dengan panjang enam meter dan seluas empat meter sedia ada mengalami kerosakan teruk akibat mendapan menyebabkan ia ditutup pada 24 Mac lalu.

“Pembinaan jambatan baharu ini sepanjang 24 meter dan lebar lima meter yang mengambil masa kira-kira 17 jam bermula 28 April lalu.

“Jambatan ini merupakan jambatan pegangan TDM yang dipasang sebagai jambatan sementara dan akan dibuka semula selepas jambatan kekal siap dibina oleh pihak JKR,” katanya yang menjelaskan jambatan itu mampu bertahan sehingga 20 tahun.

Beliau berkata, selain di Jerantut, dua jambatan jenis tersebut juga dibina di Kampung Lechar, Ulu Dong, Raub dan di Kampung Belimbing, Maran.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu ATM akan sentiasa bersiap sedia membantu pihak berkuasa awam dan akan sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan di seluruh negara sebagai salah satu daripada Military Operation Other Than War (MOOTW).

Hadiah Aidilfitri

Kebanyakan penduduk di Kampung Sungai Putat menyifatkan Jambatan Compact Bailey 100 yang dibina sebagai hadiah Aidilfitri paling bermakna pada tahun ini.

Ia berikutan penduduk berada dalam keresahan beberapa bulan berikutan risiko keselamatan yang terpaksa dihadapi kerana keadaan struktur jambatan sebelum ini yang rosak akibat banjir.

Situasi tersebut membuatkan mereka nekad menggunakan batang kelapa untuk menggantikan struktur jambatan separa konkrit yang disiapkan secara bergotong-royong ketika awal puasa hingga tular di laman sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Pulau Mansok/Sungai Putat, Mohd Saidi Din berkata, pembinaan jambatan itu memberikan kelegaan kepada penduduk sekitar.

MOHD SAIDI
MOHD SAIDI

Menurutnya, seramai 400 penduduk dari Kampung Sungai Putat menggunakan jambatan dan dianggarkan keseluruhan kira-kira 1,000 penduduk termasuk dari beberapa kampung lain menjadikan ia laluan utama ke bandar.

“Kami teruja dan bersyukur kerana hasrat penduduk selama ini tercapai berkat usaha kerajaan prihatin menerusi ATM yang merealisasikan impian penduduk.

“Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu khususnya ATM selain beberapa pemimpin dan beberapa pihak yang terlibat. Kami berharap jambatan baharu dapat dibina dengan segera,” katanya.

Mohd Saidi berkata, selain jambatan tersebut, terdapat laluan alternatif di kampung berhampiran iaitu di Kampung Gajah Mati namun ia memerlukan masa yang lama.

Sementara itu, Mohd Zain Awang, 50, berkata, penduduk sekitar menghargai usaha pihak ATM yang prihatin dengan nasib rakyat.

MOHD ZAIN
MOHD ZAIN

“Sebelum ini, kami bimbang kerana terpaksa menggunakan jambatan lama yang berisiko. Hari ini (Sabtu) adalah detik bersejarah kepada penduduk,” katanya.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Piol, Safira Batrisya Mohd Zain,16, mengakui beberapa bulan sebelum ini merupakan tempoh yang sukar.

Safira Batrisya
Safira Batrisya

“Saya terpaksa menggunakan jalan alternatif dengan mengambil masa lebih lama dan keadaan yang sunyi.

“Dengan adanya jambatan ini, saya sangat lega dan lebih bersemangat ke sekolah,” katanya.