Penjawat awam rugi RM187,000 ditipu ‘Datuk Syafiq’

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki yang juga kakitangan awam kerugian RM187,000 akibat terjerat dengan sindiket penipuan Macau Scam yang mengaku sebagai ‘Datuk Syafiq’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Bahru.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 40-an pada Jumaat lalu.

Katanya, pada awal Mac lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri dan menyatakan mangsa mempunyai tunggakan cukai RM39,000 berkait syarikat miliknya namun dinafikan mangsa.

“Suspek menyatakan tindakan mahkamah dari Bank Negara akan membekukan segala aset dan mencadangkannya membuat laporan polis konon bagi mengelakkan tindakan mahkamah.

“Mangsa disambungkan ke talian IPK Johor Bahru dan bercakap dengan suspek kedua anggota polis mendakwa dia dikehendaki atas kes pengedaran dadah dan penggubahan wang haram yang diketuai oleh seorang individu lain,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa diugut supaya memberi kerjasama bagi mengelakkan waran tangkap dan disambungkan ke ‘Datuk Syafiq’ yang menyatakan data peribadinya mungkin dicuri untuk kegiatan jenayah sebelum mangsa menyerahkan maklumat kewangan untuk disiasat bagi membuktikan dia tidak menerima sebarang wang haram.

“Datuk Syafiq menyatakan mangsa perlu menyediakan dana kewangan RM114,000 bagi membuktikan mangsa tidak menerima wang kegiatan haram.

“Pada hari berikutnya, mangsa membuat pinjaman peribadi di bank berjumlah RM114,000 dan Datuk Syafiq mengarahkan mangsa menyerahkan maklumat perbankan dalam talian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suspek mengatakan RM100,000 dimasukkan ke akaun pemegang amanah yang dilantik mahkamah dan mengarahkan mangsa memindahkan baki RM14,000 ke satu akaun bank yang lain.

“Beberapa hari kemudian, suspek menghubungi lagi mangsa memberitahu perlu diwakili peguam yang dilantik oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membelanya dalam kes itu dan diminta menyediakan wang RM50,000 untuk bayaran peguam.

“Pada hari berikutnya, mangsa sekali lagi ke bank membuat pinjaman RM53,000 dan memindahkan wang ke akaun pihak ketiga kononnya milik peguam yang dilantik oleh KDN untuk mewakili kesnya,” katanya.

Beliau berkata, pada hujung Mac lalu, mangsa mendeposit wang RM20,000 ke akaun pihak ketiga yang berbeza setelah suspek menghubungi meminta menyediakan wang jaminan mahkamah konon diarahkan oleh pihak pendakwa raya.

“Lebih daripada sebulan, mangsa diarahkan melaporkan pergerakan harian kepada suspek bersama gambar lokasi atas alasan antara syarat oleh mahkamah sementara menunggu hasil siasatan pihak polis," katanya.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun membuat laporan di Balai Polis Bachok setelah menyedari ditipu dalam kejadian terbabit.