X

Kindly register in order to view this article
!

Martabak opor Pekan dapat sambutan

Martabak opor buatan Kak Milah laris.
A
A

PEKAN - Setiap kali Ramadan, warga emas ini tidak akan menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang mahu menikmati martabak opor hasil air tangannya.

Pengusahanya, Jamilah Abdul Rahman, 60 berkata, sebanyak 150 hingga 200 keping martabak opor dijual setiap hari setiap kali Ramadan.

"Bayangkan dalam sehari, saya perlu siapkan sehingga 200 keping martabak yang ditempah pelanggan. Bukan itu sahaja, saya juga ada menerima tempahan dari pelbagai agensi kerajaan dan pejabat wakil rakyat yang menganjurkan majlis berbuka puasa.

"Selain itu, jenama martabak opor Pekan juga sudah tersohor di Lembah Klang dan Putrajaya serta mempunyai permintaan daripada penggemarnya," katanya ketika ditemui di gerai miliknya di bandar Pekan pada Ahad.

Jamilah yang juga pemilik Martabak House memulakan perniagaan martabak sejak 1981 di tingkat atas pasar basah Pekan bersama suaminya, sebelum berpindah ke lot kedai yang diusahakan sekarang.

Lebih mesra dengan panggilan Kak Milah, dia berkata, setiap kepakaran dimiliki sudah diturunkan kepada anak dan menantunya yang banyak membantu mengusahakan kedai yang terletak di Bangunan Lembaga Kemajuan Negeri Pahang (LKNP) di pusat bandar Pekan.

Jamilah berkata, idea memperkenalkan juadah martabak opor bermula kira-kira tiga tahun lalu dan strategi itu ternyata berkesan dan mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan.

Kak Milah menyiapkan martabak opor yang ditempah pelanggan.
Kak Milah menyiapkan martabak opor yang ditempah pelanggan.

“Martabak opor dihasilkan menggunakan enam bahan utama iaitu daun bawang, telur, daun sup, tomato, lada besar dan campuran pes opor resipi sendiri yang dimasak sekurang-kurangnya 15 minit.

"Kita menggunakan enam biji telur untuk menghasilkan sebiji martabak bagi memberikan rasa yang lebih unik dan menarik.

"Berbanding martabak dihasilkan pengusaha lain, jumlah telur sebenarnya memainkan peranan penting dalam menentukan kualiti rasa, " ujarnya yang sudah 30 tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan makanan ini.

Dalam pada itu, Kak Milah turut menawarkan dua jenis martabak opor dan terpulang kepada pelanggan untuk memilih opor daging atau ayam sebagai ramuan utama dalam martabak dipesan mereka.

"Harga ditawarkan juga sangat berpatutan dan dijamin memberi kepuasan kepada pelanggan. Setiap martabak dihasilkan di sini dijual pada harga antara RM12 hingga RM20 sekeping," katanya.

Ditanya mengapa tidak menghasilkan martabak sejuk beku seperti kebanyakan pengusaha lain, Jamilah berkata, rasa atau kualiti martabak sangat sukar dikekalkan apabila diproses secara sejuk beku.

"Saya sangat teliti dan pentingkan kualiti. Saya bukan tidak mahu cuba buat konsep martabak 'frozen', cuma bukan untuk masa terdekat.

"Kalau kena dengan cara, martabak tidak mudah basi dan di situlah pentingnya pengalaman serta kemahiran yang kita miliki," jelasnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!