Merayakan hari integriti ummah

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

DALAM beberapa hari sahaja lagi, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, ketika selesainya mereka menunaikan ibadat puasa selama sebulan mulai 13 April lalu.

Dalam mengingati kejayaan ibadat puasa dan perayaan yang diadakan atas kejayaan itu, maka satu perkara yang boleh dihubungkan dengan perayaan ini ialah bagaimana konsep integriti Islam global dapat diamalkan dengan baiknya ketika mengerjakan ibadat puasa.

Oleh yang demikian, dalam konteks ini, eloklah juga kita memahami konsep integriti yang direalisasikan matlamatnya oleh dunia global dengan ungkapan yang berbunyi pencapaian integriti ialah dengan:

1) Melakukan perkara yang betul, walau pun tidak ada orang yang menyaksikannya.

2) Berani menegaskan ya atau pun tidak ketika menegakkan yang benar.

3) Bercakap benar berdasarkan yang diketahui sendiri.

Fakta dan pandangan yang disebutkan di atas adalah nilai integriti universal dan merupakan satu nilai bersama di antara manusia seluruhnya yang berperadaban tanpa mengira agama, budaya dan bangsa.

Oleh itu, umat Islam yang akan menyambut hari raya setelah mengerjakan ibadat puasa adalah melakukan amalan menegakkan identiti umat yang berintegriti dalam kehidupan dunia dan akhirat kerana telah mengamalkan ibadat puasa dengan penuh ikhlas dan bertaqwa kepada ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan:

Ketika membicarakan tajuk integriti dalam dunia moden ini, maka banyak lagi persoalan falsafah yang mungkin timbul, umpamanya apakah integriti dalam ajaran Islam hanya menyentuh urus tadbir negara atau politik keduniaan sahaja?

Jawapannya tidak, kerana dalam ajaran Islam, integriti adalah sistem yang holistik, menyentuh semua pengurusan, termasuk sistem pentadbiran kerajaan atau governan, ekonomi, budaya, sosial dan lain-lain lagi, yang ditegakkan kerana ALLAH SWT, seperti yang diniatkan dengan penuh keikhlasan untuk mengerjakan ibadat puasa.

Malah dalam sistem Islam penghakimannya tidak hanya tertakluk kepada undang-undang ciptaan manusia yang bertulis semata-mata, tetapi sistem kehakiman Islam lebih berkonsepkan komitmen kepada Tuhan, iaitu berdasarkan keikhlasan hati dan roh seseorang itu dalam melaksanakan integriti dalam segala aspek kehidupan dunia dan akhirat sesuai dengan roh ajaran Islam sendiri.Sistem

Berdasarkan komitmen tersebut maka Islam dapat melaksanakan sistem politik dan pembangunan negaranya dengan sempurna seperti sistem demokrasi berparlimen, dengan menghormati konsep syura dan pengurusan lain mengikut ajaran Islam yang sebenarnya, dan urus tanbir lainnya.

Malah, Islam sendiri membentuk sistem kepemimpinan yang amat tinggi dalam kalangan masyarakat umum, kerana teranyata sekali bahawa sebuah institusi yang baik sekali pun, sekiranya ditadbirkan oleh pemimpin yang tidak berwibawa, maka institusi itu akan rosak.

Dalam konteks ini, Rasulullah SAW bersabda bahawa: “Semua kamu ialah pemimpin dan setiap pemimpin adalah bertanggung jawab terhadap semua yang di bawah pimpinannya.”

Ertinya semua kumpulan dan institusi haruslah diketuai oleh pemimpin yang berintegriti. Malah menurut pengertian hadis ini, seorang manusia yang sebatang kara juga adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap dirinya sendiri.

Semoga Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut itu benar-benar merayakan kemenangan umat Islam dalam mengamalkan nilai dan budaya yang baik mengikut prinsip integriti yang tinggi yang diwahyukan oleh ALLAH SWT.

Ibadat dalam Islam adalah ibadat untuk sepanjang hayat, bukannya berkala dan terhad kepada jangka waktu yang tertentu sahaja. Inilah sebenarnya nilai universal Islam dan nilai inilah yang dikongsikan oleh semua manusia yang memahami tamadun dan peradaban universal tersebut.

Umat Islam seharusnya menjadi umat yang baik dalam meneruskan amalan berintegriti sepanjang hayat setelah setiap tahun menerima pengajaran yang istimewa daripada ibadat puasa, dan ibadat lainnya lagi. Selamat Hari Raya Aidilfitri.

*Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia