X

Kindly register in order to view this article
!

Minta FAM ambil tindakan

Insiden yang mencetuskan kontroversi ketika jaringan Shukor di Stadium UiTM, Shah Alam pada Sabtu.
A
A

UiTM FC akan membuat laporan rasmi susulan insiden pemain veteran Kuala Lumpur City, Shukor Adan yang didakwa menggunakan tangan ketika menjaringkan gol dalam aksi Liga Super di Stadium UiTM, Shah Alam pada Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif UiTM FC, Mustaza Ahmad berkata, insiden tersebut ternyata telah meragut kemenangan skuad The Lion Troops itu sehingga mereka terpaksa berpuas hati mengutip satu mata selepas perlawana berkesudahan seri 1-1.

“Saya ada berjumpa dengan pegawai yang bertugas dan beliau memberitahu insiden itu tidak jelas. Saya tidak tahu sama ada dia nak mempertahankan pengadil atau macam mana.

“Kami sedikit kecewa kerana keputusan ini seolah-olah merobek kemenangan kami memandangkan kami sudah bermain dengan cukup baik dalam perlawanan itu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Dalam aksi itu, Shukor kelihatan seperti mahu menanduk bola hasil satu sepakan percuma, namun tindakan pemain berusia 41 tahun itu yang menaikkan tangan dalam situasi kelam kabut di hadapan pintu gol UiTM FC tidak disedari pengadil, Mohd Shahrizan Mohamad Solihim.

Sekalipun pada mulanya jaringan itu dianggap sebagai gol sendiri pemain UiTM FC, namun komisioner perlawanan mengesahkan gol tersebut menjadi milik bekas pemain kebangsaan berkenaan.

Mengulas lanjut, Mustaza berharap agar tindakan sewajarnya boleh diambil oleh Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memastikan perkara sama tidak berulang lagi.

“Kami akan buat laporan rasmi mengenai perkara itu dengan gambar-gambar yang ada. Cara UiTM, kami tidak pernah ‘tembak’ melulu dan akan buat laporan kepada pihak berwajib dengan bukti-bukti yang ada.

“Kita tahu keputusan pengadil pada perlawanan malam tadi (Sabtu) tidak boleh berubah. Namun, mungkin Jawatankuasa Pengadil FAM boleh tengok perkara ini dengan lebih serius,” tegasnya.

Dalam pada itu, pengendali UiTM FC, Frank Bernhardt turut mengakui kecewa dengan mutu pengadilan sehingga menyaksikan anak-anak buahnya sekali lagi kempunan meraih kemenangan.

“Saya tidak pernah melihat perkara ini, saya sudah berada dalam industri bola sepak di Eropah sudah lama, saya tidak pernah tengok situasi seperti ini. Sangat sukar dipercayai apa yang berlaku ini.

“Sangat tidak adil. Kami sudah bermain dengan baik dan jelas gol (Shukor) itu menggunakan tangan. Saya tak patut mengatakannya tapi apa yang berlaku sukar dipercayai,” ujarnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!