Duo jaguh basikal trek dijangka terima vaksin pertengahan Jun

Azizulhasni (kiri) dan Shah Firdaus kini berada di Melbourne. Gambar kecil: Ashakari Abu Noor
Azizulhasni (kiri) dan Shah Firdaus kini berada di Melbourne. Gambar kecil: Ashakari Abu Noor
A
A
A

DUA jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom dijangka menerima suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada pertengahan Jun ini.

Pengurus skuad berbasikal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Datuk Ashakari Abu Noor berkata, Azizulhasni dan Shah Firdaus dijadualkan pulang ke tanah air pada 5 Jun dari Melbourne, Australia sebelum menjalani tempoh kuarantin wajib.

“Kami sudah berbincang dengan semua pihak termasuk KBS, MSN (Majlis Sukan Negara) dan PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia). Kami sangat serius dalam pemberian vaksin Covid-19 kepada Azizulhasni dan Shah Firdaus.

“Kami sedang pilih tarikh yang sesuai untuk pemberian vaksin Covid-19 kepada mereka. Apa yang pasti Azizulhasni dan Shah Firdaus akan menerima vaksin itu selepas mereka tamat tempoh menjalani kuarantin wajib.

“Saya percaya ia akan dilakukan pada pertengahan Jun. Apa yang penting Azizulhasni dan Shah Firdaus sudah terima vaksin Covid-19 sebelum mereka berlepas ke Tokyo bagi menghadapi Sukan Olimpik nanti,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ashakari memberitahu, pihaknya belum mendapat sebarang pengesahan sama ada mana-mana atlet termasuk Azizulhasni dan Shah Firdaus yang telah menerima vaksin Covid-19 akan dikecualikan daripada prosedur kuarantin di Tokyo nanti.

“Saya terima makluman awal daripada jurucakap JCF (Persekutuan Berbasikal Jepun) bahawa wujud kemungkinan semua atlet terpaksa menjalani kuarantin selama 14 hari. Namun, saya berharap pihak penganjur boleh memberikan sedikit pengecualian kepada atlet yang bertanding di temasya Olimpik Jepun.

“Jurucakap JCF juga memaklumkan bahawa buku peraturan yang dirombak mengikut situasi semasa akan dikeluarkan dalam masa terdekat. Saya amat berharap Azizulhasni dan Shah Firdaus akan menerima pengecualian kuarantin di Tokyo nanti.

Artikel Berkaitan:

“Buat masa ini, kita sentiasa berhubung dengan JCF yang merupakan sub penganjur bagi acara sukan berbasikal acara trek di Velodrom Izu. Maklumat awal sangat penting untuk persediaan atlet yang bakalbertanding,” jelasnya.

Azizulhasni bakal menempa sejarah sebagai pelumba trek berbasikal pertama negara yang bakal membuat penampilan keempat berturut-turut pada temasya Olimpik manakala Shah Firdaus tampil buat kali pertama di pentas sukan paling berprestij di dunia itu.

Terkenal dengan gelaran The Pocketrocketman, Azizulhasni melakar sejarah gemilang dalam arena sukan berbasikal negara apabila mengucup pingat gangsa dalam acara keirin pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Menjelang temasya Olimpik 2020 yang ditangguhkan tahun lalu akibat pandemik Covid-19, Azizulhasni disebut-sebut sebagai prospek terbaik untuk membawa pulang kilauan emas Sukan Olimpik pertama menerusi acara keirin atau pecut individu di Velodrom Izu nanti.