X

Kindly register in order to view this article
!

Atlet sambut Syawal di kem latihan

JEFRI NGADIRIN
A
A

ATLET-atlet negara yang dalam persiapan untuk bertanding dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Julai depan dan Sukan SEA 2021 di Hanoi hujung tahun ini akan menyambut Aidilfitri di kem latihan dan tidak dibenarkan keluar.

Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, MSN memilih melaksanakan pendekatan latihan dalam kuarantin selepas mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan lonjakan kes harian Covid-19 ketika ini yang merupakan risiko kepada keselamatan dan kesihatan atlet.

“Perancangan kita memang akan ada sambutan secara sederhana di dalam kem melibatkan atlet dan jurulatih yang tinggal dalam kem. Tetapi bergantung kepada situasi Covid-19 nanti.

“Sudah semestinya pihak MSN bimbang akan ketidaktentuan latihan dan pertandingan semasa Covid-19 kerana ini akan menjejaskan prestasi atlet. Sebab itu kem latihan secara kuarantin ini terpaksa dilakukan. Diharap dengan cara ini latihan dapat diteruskan sebagai persiapan menghadapi temasya sukan,” katanya pada Ahad.

Barisan atlet negara kembali menyertai latihan secara kuarantin di MSN, Bukit Jalil dan beberapa lagi tempat termasuk Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara sejak beberapa hari lepas setelah kerajaan mengumumkan PKP di enam daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Jefri berkata, kesemua atlet dan jurulatih yang berada di bawah program MSN telah diberi nasihat untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurutnya, pihak MSN juga melaksanakan saringan ujian Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen melibatkan semua atlet dan jurulatih pada tiga minggu lepas dan akan melaksanakan ujian yang sama minggu depan.

Media melaporkan 11 atlet dan jurulatih sepak takraw disahkan positif jangkitan Covid-19 selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Sebelum itu, 15 pemain dijangkiti virus berkenaan di ABM sejak 17 April sementara seorang atlet remaja dan jurulatihnya didapati positif dalam kem latihan boling baru-baru ini. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!