'Mimpi ramai orang datang rumah petanda Aira pergi'

Norasikin menangis tidak dapat menahan sedih ketika bercerita mengenai Aira. Gambar kanan: Nur Aira Batrisya
Norasikin menangis tidak dapat menahan sedih ketika bercerita mengenai Aira. Gambar kanan: Nur Aira Batrisya
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bapa kepada bayi perempuan berumur 11 bulan yang maut selepas terjatuh dari tingkat tiga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Aman, Kuala Lumpur pada 2 Mei lalu bermimpi orang ramai mengunjungi rumahnya dalam keadaan menangis beberapa hari sebelum kejadian.

Menurut ibu mangsa, Norasikin Juliar, 37, suaminya bagaimanapun tidak mengetahui punca kunjungan tersebut namun tidak menyangka itu mungkin petanda kehilangan anak mereka.

Katanya, suami, Khairul Faizal Abd Rahim, 37 amat terkesan dengan kehilangan anak bongsu mereka, Nur Aira Batrisya dan masih belum mampu menerima kenyataan tersebut.

“Suami ralat kerana ketika kejadian, dia sedang tidur akibat penat bekerja dan menyalahkan dirinya tidak bermain dengan anak-anaknya,” katanya ketika ditemui media di rumahnya pada Ahad.

Pada 3 Mei lalu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan seorang bayi perempuan maut selepas terjatuh dari tingkat tiga di PPR Sri Aman.

Beliau berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 6 petang dan mangsa ketika itu sedang bermain bersama abang, kakak dan sepupunya di atas katil bersebelahan dengan tingkap dalam bilik rumah itu.

Kawasan rumah Norasikin di PPR Sri Aman.
Kawasan rumah Norasikin di PPR Sri Aman.

Mengulas lanjut ibu kepada tujuh orang anak itu berkata, suaminya belum bersedia untuk berjumpa orang ramai dan hanya pulang pada waktu malam setelah semua orang tidur.

Artikel Berkaitan:

“Kekuatan saya dan dia tidak sama kerana saya pernah melalui pengalaman kehilangan ibu dan nenek.

“Saya juga bersyukur mendapat sokongan daripada adik-adik dan jiran, berbeza dengan suami yang lebih suka berdiam diri.

“Saya berhasrat menghantar suami ke sesi kaunseling untuk memulihkan semangatnya,” katanya.

Norasikin juga merayu masyarakat tidak menghukum anak-anaknya atas kejadian yang menimpa adik bongsu mereka.

“Anak-anak saya sudah cukup terseksa dengan kematian Aira, namun masih ada masyarakat yang menganggap mereka cuai,” ujarnya.

Menurut Norasikin, dia tidak menyalahkan anak-anaknya yang lain kerana kejadian itu adalah ketentuan ALLAH SWT dan mereka sekeluarga hanya memperbanyakkan doa.

“Aira dah seronok berjumpa keluarga dan rakan-rakan di sana. Saya tidak mahu anak-anak rasa bersalah dengan perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, dia turut menerima kunjungan daripada Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dominic Lau Hoe Chai yang menyerahkan sumbangan barangan asas dan bantuan jeriji tingkap.

Dominic meluahkan rasa kecewa selepas mendapat tahu perumahan berkenaan tidak dilengkapi dengan jeriji tingkap.