674,862 individu terima dua dos vaksin

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 674,862 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menerusi akaun Twitternya hari ini, beliau berkata, angka itu adalah sebahagian daripada 1,079,294 individu yang telah menerima dos pertama, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 1,754,156 dos setakat semalam.

Menurut infografik dikongsikan beliau, lima negeri yang menerima suntikan dos pertama tertinggi ialah Selangor dengan 146,731 dos, Sarawak (109,106), Kuala Lumpur (108,617), Perak (96,296) dan Johor (90,252).

Setakat semalam, 41 peratus atau 9,954,137 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi berjumlah 2,558,679 individu.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lepas melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula pada April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya, manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

Artikel Berkaitan: