'Tiada ibu yang mahu perkara ini terjadi'

Bayi perempuan berusia 11 bulan yang maut selepas terjatuh dari tingkap bilik di tingkat tiga kediaman keluarganya di Pangsapuri Sri Aman, Jalan Aman Putra, Ahad lalu. Foto: FB Norasikin Juliar
Bayi perempuan berusia 11 bulan yang maut selepas terjatuh dari tingkap bilik di tingkat tiga kediaman keluarganya di Pangsapuri Sri Aman, Jalan Aman Putra, Ahad lalu. Foto: FB Norasikin Juliar
A
A
A

KUALA LUMPUR - “Kita kena sentiasa pantau (anak), tiada mak yang nak benda ini terjadikan,” kata ibu kepada bayi perempuan berusia 11 bulan yang maut selepas terjatuh dari tingkap bilik di tingkat tiga kediaman keluarganya di Pangsapuri Sri Aman, Jalan Aman Putra, di sini pada Ahad lalu.

Norasikin Juliar, 37, berkata, dia menganggap tragedi tersebut sebagai satu pengajaran supaya jangan sesekali leka dengan keberadaan anak.

“Saya tak bermaksud yang masa itu saya leka... Kalau boleh anak itu sentiasalah berada di depan mata. Kita tak sangka dan jangka apa yang akan terjadi,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan dalam lawatan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau pada Ahad.

Hasil laporan bedah siasat oleh Unit Forensik Hospital Selayang mendapati kematian bayi berkenaan berpunca daripada kecederaan parah di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi.

Menceritakan kisah tragedi tersebut, Norasikin berkata, segalanya berlaku dalam sekelip mata dan ketika kejadian berlaku dia sedang melipat baju di bilik berasingan.

“Saya baharu sahaja lepaskan dia (mangsa), kiranya dia sedang main depan mata saya, tiba-tiba kakak dia bawa main di depan sebab saudara dia ramai, dekat 10 orang dalam bilik itu.

“Jadi masa kejadian itu memang berlaku dengan pantas, tidak sampai beberapa minit dah jatuh ke bawah,” katanya.

Menurut Norasikin, suaminya Khairul Faizal, 37, sehingga hari ini tidak dapat menerima hakikat bahawa anak bongsu mereka daripada tujuh beradik itu telah meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dominic berkata, beliau akan mencadangkan kepada kerajaan supaya kesemua Program Perumahan Rakyat (PPR) yang akan dibina kelak diwajibkan supaya dipasangkan gril.

“Keselamatan rakyat mesti diutamakan, dalam masa terdekat kita akan beri cadangan atau berjumpa Menteri Wilayah Persekutuan atau Timbalannya selain KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) untuk bincang bagaimana nak adakan gril di PPR atau rumah mampu milik,” katanya.

Selain itu, Dominic berkata, pihaknya juga akan meminta doktor psikologi memberikan kaunseling kepada keluarga terbabit supaya kehidupan mereka dapat diteruskan seperti biasa kerana ketika ini mereka terkesan dengan kejadian tersebut. - Bernama