Mesyuarat persatuan sukan cetus kluster Covid-19

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pada Ahad mengisytiharkan satu lagi kluster baharu Covid-19 di Sarawak iaitu Kluster Jalan Stadium Negeri di daerah Kuching.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan kluster tersebut merupakan kluster sosial yang dikesan melibatkan satu mesyuarat teknikal sebuah persatuan sukan di Jalan Stadium di Petra Jaya pada 30 April lalu.

Menurutnya, kes indeks kluster tersebut merupakan seorang lelaki warganegara berumur 65 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala di Klinik Kesihatan Petra Jaya pada 3 Mei dan disahkan positif Covid-19 pada 5 Mei.

“Kes indeks telah mendapat jangkitan daripada komuniti dan telah merebakkan jangkitan kepada ahli mesyuarat yang hadir pada hari tersebut yang kemudian telah merebak dalam kalangan ahli keluarga kontak-kontak tersebut.

“Sehingga 12 tengah hari ini, seramai 55 individu telah disaring dengan 17 didapati positif dan 38 negatif,” menurut JPBN dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sarawak merekodkan 454 kes baharu Covid-19 pada Ahad.

Dalam kenyataan sama, JPBN memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah dilaksanakan di Rumah Empaling di Betong bermula 7 hingga 20 Mei. - Bernama

Artikel Berkaitan: