X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia perlu segera 'Lockdown' atasi Covid-19: Khaled

Bukit Bintang, lengang dan sunyi ketika negara melaksanakan perintah berkurung tahun lalu. - Foto Bernama, gambar kecil: Mohamed Khaled Norden
A
A

JOHOR BAHRU - Malaysia mesti segera melaksanakan ‘lockdown’ bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang kini dilihat dalam keadaan gawat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia tidak boleh lagi teragak-agak dengan arahan yang mengelirukan.

"Negara sekali lagi berada dalam keadaan yang gawat kerana kejangkitan Covid-19 yang yang kini meningkat.

"Data jelas menunjukkan bahawa berlaku pengurangan jangkitan melalui kluster tetapi pertambahan kes melalui 'sporadic infection'. Ini bermakna kes jangkitan dalam komuniti menular dengan pantas.

"Lockdown perlu dilakukan. Protokol kesihatan tidak lagi berkesan kerana rakyat telah mula menunjukkan sindrom keletihan terhadap prosedur operasi standard (SOP)," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tegas beliau, negara maju terus mengambil pendekatan drastik seperti lockdown walaupun mereka mempunyai kebitaraan unggul dalam mengumpul dan memahami data.

Mohamed Khaled berpendapat membataskan pergerakan manusia adalah jalan terbaik untuk memutuskan rangkaian wabak tersebut.

Katanya, semua rakyat Malaysia mesti berkorban dan melupakan segala kunjungan hari raya walaupun dalam daerah yang sama bagi mengelakkan jangkitan.

"Ingatlah dengan proses vaksinasi yang perlahan, kemampuan kemudahan perubatan berada pada tahap maksimum dan petugas kesihatan semakin tertekan, Malaysia berada pada fasa kritikal dalam menangani wabak ini.

"Semua sektor ekonomi mesti memberi laluan kepada ‘darurat kesihatan’ ini. Kerajaan juga mesti mempertingkatkan kebolehgunaan fungsi MySejahtera bagi memastikan ia menjadi aplikasi yang rakyat Malaysia perlukan pada setiap saat dan ketika bagi menjaga keselamatan diri mereka," katanya.

Menurutnya, keupayaan sedia ada MySejahtera ketika ini sudah melangkaui keupayaan sekadar imbasan QR

Seharusnya kata beliau, sistem itu sudah berupaya memaklumkan individu jika mereka pernah berada dalam jarak yang dekat dengan individu positif Covid-19.

Teknologi itu katanya, telah pun dibina melalui kolaborasi Apple dan Google.

Dalam kes sporadik ujarnya, individu positif tidak mengetahui sumber atau tempat di mana mereka mendapat jangkitan.

"Jika digunakan selari dan bersama-sama keupayaan sedia ada MySejahtera, ia menjadi jawapan kepada permasalahan ini.

Walau apa jua usaha dan teknologi, akhirnya membataskan pergerakan manusia adalah jalan terbaik untuk memutuskan rangkaian wabak ini," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!