PKP: Penggunaan elektrik dijangka meningkat

TNB menjangkakan kadar penggunaan bekalan tenaga elektrik akan meningkat.
TNB menjangkakan kadar penggunaan bekalan tenaga elektrik akan meningkat.
A
A
A

PADANG TERAP - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjangkakan kadar penggunaan bekalan tenaga elektrik akan meningkat susulan larangan rentas negeri dan daerah bermula 10 Mei hingga 6 Jun depan.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kadar penggunaan dipercayai mula naik apabila orang ramai tidak ke mana-mana dan perlu berada di rumah lebih kurang 26 hari susulan pengumuman kerajaan melalui Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak membenarkan rentas negeri dan daerah.

"Jadi sedikit sebanyak jumlah bekalan elektrik yang akan digunakan meningkat apabila mereka tidak perlu ke sekolah, mungkin ada yang tidak dapat ke pejabat dan banyak perniagaan tidak dibuka.

"Mereka akan duduk di rumah dan ada peningkatan, namun untuk tujuan itu TNB sememangnya telah bersiap siaga berdepan kemungkinan yang dihadapi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan rentas daerah serta negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Aidilfitri kepada kepimpinan UMNO Cawangan Pedu Parlimen Padang Terap di sini pada Ahad.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) menyerahkan sumbangan pada Majlis Sumbangan Aidilfitri kepada kepimpinan UMNO Cawangan Pedu Parlimen Padang Terap, Ahad.
Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) menyerahkan sumbangan pada Majlis Sumbangan Aidilfitri kepada kepimpinan UMNO Cawangan Pedu Parlimen Padang Terap, Ahad.

Dalam perkembangan sama, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, TNB akan menggunakan pengalaman mereka ketika menghadapi PKP tahun lepas untuk berdepan situasi ketika ini.

"Dahulu, pembaca meter TNB bukan sebahagian petugas barisan hadapan namun sekarang mereka merupakan sebahagian petugas barisan hadapan sekaligus membolehkan mereka membaca meter setiap bulan berdasarkan arahan MKN," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahdzir berkata, pihaknya yakin tiada permasalahan akan timbul dalam tempoh berkenaan memandangkan kesiapsiagaan dibuat TNB dan perlaksanaan pegawai untuk hadapi keadaan ini.

"Apabila berada di rumah, orang awam akan menggunakan sejumlah bekalan elektrik tanpa disedari seperti penghawa dingin ataupun segala bentuk komunikasi dan lain-lain," katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau menasihatkan pengguna menggunakan kebijaksanaan masing-masing dan mengambil kira jumlah penggunaan bekalan elektrik apabila berada di rumah sepanjang tempoh berkenaan.