Sabah benarkan tiga pasar raya dalam sistem HIDE beroperasi

Sabah membenarkan tiga pasar raya di negeri itu yang disenarai dalam sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) untuk terus beroperasi. - Foto 123RF
Sabah membenarkan tiga pasar raya di negeri itu yang disenarai dalam sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) untuk terus beroperasi. - Foto 123RF
A
A
A

KOTA KINABALU - Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Covid-19 Negeri Sabah pada Ahad membenarkan tiga pasar raya di negeri ini yang disenarai dalam sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE), untuk terus beroperasi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, sehubungan itu kawalan ketat akan dilakukan di pasar raya yang terlibat untuk memastikan pengunjung dan pasar raya itu mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan bagi mengekang Covid-19.

“Kami arahkan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan DBKK (Dewan Bandaraya Kota Kinabalu) buat kawalan di pintu masuk pasar raya terbabit. Jika melebihi daya tampungnya, pengunjung akan disekat masuk sementara menunggu pengunjung lain keluar.

“Kita akan hanya menutup dan menyahkuman pasar raya itu jika terdapat kes Covid-19,” katanya kepada pemberita menerusi mesej WhatsApp di sini pada Ahad.

Pada Sabtu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, premis tersenarai dalam sistem HIDE kerana dikenal pasti sebagai lokasi berisiko kepada penularan kes Covid-19, akan diarah tutup tiga hari berkuat kuasa serta merta.

Semakan di sistem itu mendapati tiga pasar raya terlibat di Sabah ialah Centre Point Shopping Mall, Suria Shopping Mall dan Kompleks Karamunsing, semuanya terletak di Kota Kinabalu. - Bernama

Artikel Berkaitan: