Malaysia digesa desak negara Islam bantu Palestin: Yadim

Mohd Tarmizi (kanan) melihat Nasruddin (tengah) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada Program Yadim Peduli di Dewan Serbaguna Taman Tas pada Ahad.
Mohd Tarmizi (kanan) melihat Nasruddin (tengah) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada Program Yadim Peduli di Dewan Serbaguna Taman Tas pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Malaysia digesa mendesak semua negara Islam di sempadan Palestin membantu rakyat di negara itu.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasruddin Hassan berkata, desakan itu perlu bagi membolehkan negara sempadan termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) menghulurkan bantuan kepada Palestin bagi memberi pengajaran sewajarnya kepada Israel.

"Malaysia melalui Wisma Putra perlu memainkan peranan mendesak OIC, NAM dan negara sempadan Palestin supaya membantu negara itu dengan apa cara sekalipun. Ini kerana ia adalah isu kemanusiaan, pelanggaran hak dan pencabulan tanah air bukan isu berkaitan dengan agama.

"Jadi, semua pihak kena mengambil tindakan atas semua isu itu bukan mengambil tindakan 'diam' sehingga menyebabkan Palestin terus menerus menerima serang daripada Israel," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Dewan Serbaguna Taman Tas pada petang Ahad.

Sebelum itu, beliau mengagihkan sumbangan kepada 101 penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Panching pada Program Yadim Peduli: Bantuan Ramadan Aidilfitri yang dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya dan Pengarah Yadim Pahang, Mohamad Hazmi Dibok.

Jumaat lalu, kira-kira 170 jemaah termasuk kanak-kanak mengalami kecederaan akibat tindakan polis zionis melepaskan tembakan peluru getah dan bom pegun serta bom asap ketika jemaah sedang solat sunat tarawih di Masjid Al-Aqsa.

Beliau berkata, Yadim mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu

"Kita kesali perbuatan itu dan ia menjadi bukti bahawa Israel ini adalah satu bangsa, negara yang tidak pernah memahami erti kedamaian dan hormat.

Artikel Berkaitan:

"Kita berharap peristiwa ini membuka mata umat Islam untuk bangkit membantu bumi Palestin," ujarnya.

Mengulas mengenai program Yadim Peduli, Nasruddin berkata, sumbangan berkenaan diagihkan kepada penerima selepas menerima peruntukan sebanyak RM150,000 daripada pihak CIMB Bank.

"Agihan sumbangan dilaksanakan di seluruh negara dan berharap sumbangan ini memberi kelegaan kepada mereka untuk menyambut Aidilfitri," katanya.