X

Kindly register in order to view this article
!

Majikan utama di Malaysia tawar pekerjaan walau hadapi pandemik

LinkedIn mengenal pasti 15 syarikat utama di Malaysia terus mengambil pekerja baharu walaupun berlaku pandemik yang telah menjejaskan aktiviti perniagaan. (Gambar hiasan - Foto Bernama)
A
A

KUALA LUMPUR - Kajian oleh LinkedIn telah mengenal pasti 15 syarikat utama di Malaysia terus mengambil pekerja baharu walaupun berlaku pandemik yang telah menjejaskan aktiviti perniagaan.

Menurut GKK Consultants Sdn Bhd (GKK), tinjauan oleh laman web rangkaian sosial untuk profesional perniagaan itu mendedahkan bahawa terdapat lebih 45,000 pekerjaan sedang menunggu untuk diisi di negara ini.

Majikan utama itu terdiri daripada syarikat tempatan dan syarikat multinasional, termasuklah Petronas, Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tenaga Nasional Bhd, Telekom Malaysia Bhd, Malayan Banking Bhd dan Axiata Group.

GKK, perunding sumber manusia dan latihan yang bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkata, tinjauan itu menunjukkan bahawa majikan ini menawarkan tempat kepada mereka yang mencari pekerjaan dalam organisasi mereka untuk mengembangkan kerjaya profesional mereka.

“Walaupun tinjauan itu memperincikan syarikat utama di Malaysia yang telah berkembang pesat selama bertahun-tahun, terdapat banyak ciri-ciri positif dan contoh yang dapat diikuti serta dicontohi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sistem pengurusan mereka sendiri,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GKK, Gajendran Balasingham dalam kenyataan pada Ahad.

Metodologi LinkedIn meliputi tujuh bidang utama, iaitu kemajuan kerjaya, kemajuan dan peningkatan, kemahiran sumber manusia, kestabilan syarikat, kepelbagaian gender dan latar belakang pendidikan.

“Tidak kira betapa kecil tenaga kerja mereka, apa yang menjadi perhatian ialah penekanan majikan terhadap pertumbuhan pekerja, latihan yang berterusan dan peningkatan kemahiran serta menjejaki kesihatan mental dan kesejahteraan pekerja terutamanya dalam tempoh tidak menentu ini,” katanya.

Walaupun banyak PKS terpaksa ditutup berikutan kesukaran kewangan, banyak juga yang tidak menentu, mengubah strategi perniagaan mereka dan terus bertahan selain masih mengekalkan kekuatan pekerja dengan harapan keadaan akhirnya akan bertambah baik.

Lebih 67,000 orang telah diberhentikan hanya antara Januari dan Julai tahun lalu.

“Bersama dengan Perkeso dan Dana Pembangunan Sumber Manusia, GKK telah mengadakan kursus dan latihan untuk membantu pekerja ini meningkatkan kemahiran mereka dengan tujuan memaksimumkan kelebihan daya saing mereka,” kata Gajendran.

Beliau berkata, dengan kemahiran baharu ini, mereka dilengkapi dengan lebih baik untuk bekerja semula.

“Kami telah menjalankan kira-kira 80 sesi dengan matlamat untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran semasa yang dijangka dalam sektor mereka dan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.

“Setakat ini, lebih 500 pekerja yang telah diberhentikan telah dilatih semula di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) yang dibayar oleh Perkeso,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!