Alasan rentas negeri untuk berbelanja, 38 individu dikompaun RM5,000

Mohamad Noor menemui individu yang ditahan kerana cuba rentas negeri tanpa kebenaran bagi menjelaskan berhubung tindakan kompaun yang dikenakan ke atas mereka.
Mohamad Noor menemui individu yang ditahan kerana cuba rentas negeri tanpa kebenaran bagi menjelaskan berhubung tindakan kompaun yang dikenakan ke atas mereka.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 38 individu dikompaun RM5,000 pada Ahad selepas didapati merentas sempadan negeri dari daerah Kemaman, Terengganu ke daerah ini tanpa surat kebenaran polis

Individu berusia 19 hingga 60 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan raya Operasi Khas Rentas Negeri di Kilometer 22 Jalan Kuantan-Jabor di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, polis menahan individu berkenaan hasil pemeriksaan dalam tempoh dua jam.

"Rata-rata mereka memberi alasan tidak munasabah pergi ke Kuantan untuk berbelanja.

"Ada sebilangan kecil daripada individu ini beralamat di Kuantan, namun mendakwa ada urusan di Kemaman tetapi gagal mengemukakan dokumen sokongan seperti surat majikan," katanya pada sidang akhbar berhubung perkara itu di Balai Polis Gebeng di sini pada Ahad.

Mohamad Noor berkata, polis terpaksa mengambil tindakan sewajarnya dengan mengeluarkan kompaun mengikut kadar ditetapkan tanpa ada budi bicara.

"Antara yang ditahan atas cubaan rentas negeri membabitkan keluarga dan secara individu.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan kita tidak boleh terima alasan tidak tahu berhubung keperluan kepada kebenaran polis untuk rentas negeri.

Artikel Berkaitan:

"Tinggal di kawasan sempadan bukan tiket untuk mereka bebas bergerak ke negeri terlibat sebaliknya semua tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu,, Mohamad Noor berkata, menjelang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuantan bermula pada Isnin, pihaknya mengatur gerak pasukan untuk melaksanakan sekatan jalan raya di enam lokasi selama 24 jam melibatkan 79 anggota.

"Kita juga menggerakkan 10 pasukan pemantau dan tiga pasukan tindakan khas lorong tikus sepanjang tempoh PKP ini," katanya.