X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD Tanah Putih: Sebahagian penduduk 'hilang' telah pulang

Gambar hiasan
A
A

KUANTAN - Sebahagian daripada kira-kira 200 penduduk Taman Tanah Putih Baru di sini yang dikatakan meninggalkan kediaman mereka sebelum kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 5 Mei lalu sudah pulang ke kediaman masing-masing.

Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, setakat ini difahamkan 58 orang daripada mereka sudah pulang dan mereka juga telah menjalani saringan Covid-19 yang ditetapkan.

"Kita tidak tahu mengapa mereka keluar daripada rumah sejurus sebelum PKPD berkuat kuasa, namun kita harap mereka yang masih belum tampil dapat hadir menjalani saringan sehingga esok atau menghubungi polis untuk memaklumkan keberadaan mereka untuk tindakan selanjutnya.

"Mereka perlu menjalani ujian saringan supaya kluster di taman perumahan itu tamat secepat mungkin. Kejadian tidak diingini juga dibimbangi boleh berlaku jika penduduk tidak tahu status kesihatan masing-masing. Jika perlu, kita akan memanjangkan tempoh saringan asalkan mereka datang," katanya.

Sallehuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata demikian kepada kepada pemberita selepas meninjau proses saringan terhadap kontak rapat kluster dan individu positif di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.

Dalam pada itu, Sallehuddin berkata, beberapa pasar raya diminta menghantar barangan asas ke kedai dalam lokaliti PKPD di Pahang selepas difahamkan barangan runcit di kedai dalam kawasan berkenaan semakin berkurangan, selain untuk membantu penduduk membuat persiapan raya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga menyalurkan bantuan termasuk makanan asas kepada penduduk dalam kawasan PKPD dan mereka yang diwajibkan menjalani kuarantin di rumah, mengikut jumlah bantuan ditetapkan sebelum ini.

Mengenai perayaan Aidilfitri, beliau berkata, penduduk Pahang terutamanya di Kuantan dinasihatkan untuk mengurangkan pergerakan sepanjang cuti panjang Hari Raya Aidilfitri bagi membantu membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Katanya, antara kebimbangan utama pihaknya ialah keupayaan kakitangan dan peralatan kesihatan di negeri ini menampung kenaikan pesakit secara mendadak selepas raya, jika tiada kawalan dilakukan semua pihak.

"Buat masa ini, jumlah peralatan kesihatan masih mencukupi dengan jumlah penggunaan sekitar 50 peratus. Namun ia menunjukkan trend peningkatan mendadak kerana seminggu lalu, peratusannya hanya sekitar 30 peratus. Ini disebabkan oleh kluster baharu di beberapa lokasi khususnya di Kuantan, Rompin dan Raub selain jumlah kes positif baru daerah lain juga semakin banyak," katanya.

Beliau berkata, seboleh-bolehnya kerajaan negeri tidak mahu mencadangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di daerah lain selepas Kuantan, namun perkara itu memerlukan kerjasama semua masyarakat.

Seluruh Daerah Kuantan akan diletakkan di bawah PKP bermula esok hingga 23 Mei. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!