X

Kindly register in order to view this article
!

Pekebun rugi akibat lambakan pisang berangan

Md Nor menunjukkan lambakan pisang berangan di kebunnya di Kampung Lubok Jaya.
A
A

KUALA SELANGOR - Pengusaha kebun pisang berangan di Kampung Lubok Jaya di sini berdepan kerugian ekoran lambakan tanaman itu sejak sebulan lalu.

Seorang penanam pisang berangan, Md Nor Yasin, 57, berkata, kira-kira 7,000 pokok pisang berangan ditanam di kawasan seluas enam hektar itu berdepan lambakan berikutan aktiviti pembelian yang perlahan.

Menurutnya, lebih dua tan metrik pisang berangan yang sudah boleh dituai di kebunnya itu masih belum terjual sehingga sekarang.

"Kalau tahun lepas purata saya dapat menjual pisang berangan RM2,000 satu metrik pada setiap minggu, tetapi tahun ini keadaannya jauh merudum apabila tanaman ini kekurangan permintaan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Md Nor berkata, biasanya tanaman pisangnya itu dijual kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan pemborong yang menjualnya kepada peniaga.

"Namun FAMA dan pemborong sudah menghentikan pembelian kerana terdapat lebihan pisang berangan buat masa ini.

Md Nor menunjukkan sebahagian tanaman pisang berangan yang sepatutnya dituai tidak dapat dipasarkan hingga terpaksa menanggung kerugian.
Md Nor menunjukkan sebahagian tanaman pisang berangan yang sepatutnya dituai tidak dapat dipasarkan hingga terpaksa menanggung kerugian.

"Masalah ini bukan sahaja dialami saya, tetapi empat rakan lain yang juga pekebun pisang berangan turut mengeluh hadapi masalah sama," katanya.

Malah beliau berkata, harga pisang berangan juga dijual pada harga jauh lebih rendah iaitu RM2 sekilogram (kg).

"Jika dahulu harga pisang berangan dijual RM2.50 kg, tetapi disebabkan permintaan merosot harga mengalami penurunan sebanyak 50 sen," katanya.

Justeru, Md Nor berkata, pekebun kini hanya mengharapkan sepenuhnya kepada FAMA yang dapat membeli semua pisang berangan bagi mengelak menanggung kerugian.

Katanya, penjualan pisang kepada FAMA dapat mengurangkan bebanan terpaksa ditanggung pengusaha kebun pisang terutama menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

"Saya sendiri misalnya sudah membelanjakan sebanyak RM40,000 sebagai modal permulaan untuk mengusahakan tanaman ini, selain bergantung harap kepada jualan pisang sebagai punca pendapatan sejak 10 tahun lalu," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!