'Terkilan tak sempat minta maaf dengan Norhalim'

Isteri Allahyarham,Nurfitrah (dua,kanan) yang ditenangkan ahli keluarga sebaik jenazah suaminya tiba di pekarangan Masjid Felda Bukit Damar Lanchang. Gambar kiri: Allahyarham Konstabel Norhalim Tumiran
Isteri Allahyarham,Nurfitrah (dua,kanan) yang ditenangkan ahli keluarga sebaik jenazah suaminya tiba di pekarangan Masjid Felda Bukit Damar Lanchang. Gambar kiri: Allahyarham Konstabel Norhalim Tumiran
A
A
A

TEMERLOH - Bekas guru kepada Allahyarham Konstabel Norhalim Tumiran mengakui terkilan kerana tidak sempat meminta maaf dengan pelajar kesayangannya itu.

Idham Abdul Samat, 36, yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Bukit Damar, Lanchang di sini juga berkata, beliau amat terkejut sebaik mengetahui kejadian yang menimpa bekas pelajarnya itu.

Menurutnya, Norhalim juga bekas anak didiknya dalam dunia bola sepak dan merupakan tonggak utama pasukan bola sepak sekolah tersebut.

"Dia (Norhalim) muncul penyerang dan pemain utama skuad Temerloh FA sebelum menyertai pasukan polis.

"Saya memang rapat dengannya walaupun tidak lagi bergelar pelajar dan sentiasa berhubung dengannya. Kali terakhir Allahyarham ada membuat panggilan video beramai-ramai dan saya sempat mengusiknya, namun Norhalim tidak pernah terasa hati dengan gurauan itu," katanya pada Sinar Harian.

Beliau ditemui selepas solat jenazah di Masjid Felda Bukit Damar, Lanchang di sini pada Sabtu.

Allahyarham Norhalim, 24, selesai dikebumikan kira-kira jam 10.30 malam di tanah perkuburan Islam di Felda Bukit Damar, Lanchang.

Artikel Berkaitan:

Pengebumian Allahyarham Norhalim di tanah perkuburan Islam Felda Bukit Damar Lanchang, Sabtu.
Pengebumian Allahyarham Norhalim di tanah perkuburan Islam Felda Bukit Damar Lanchang, Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said dan Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman.

Suasana pilu menyelubungi sebaik jenazah tiba di pekarangan masjid kira-kira jam 8.47 malam dan isteri Allahyarham Norhalim, Nurfitrah Ramli, 24, menangis hiba bersama ahli keluarga lain.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham selamat mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, Selangor dari Sibu, Sarawak kira-kira jam 4.40 petang Sabtu.

Sementara itu, rakan baik Norhalim, Shahrin Sharif, 24, berkata, Allahyarham ada membuat panggilan video beramai-ramai pada hari kejadian tetapi tidak dapat sertainya kerana sibuk.

"Kehilangannya sangat dirasai kerana kami telah berkawan baik sejak kecil dan Allahyarham memang bercita-cita menjadi anggota polis," katanya.

Dalam pada itu, Ismail mengharapkan keluarga Allahyarham Norhalim tabah dengan dugaan ini dan memberikan jaminan nasib keluarga itu akan mendapat perhatian sewajarnya.

Allahyarham Norhalim meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan,Nur Alisya berusia setahun dua bulan.

Dalam kejadian Khamis lalu, Konstabel Norhalim maut selepas terkena tembakan di sebuah rumah di Sibu, Sarawak.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis mati tertembak: Tiga rakan direman 14 hari

'Suami sudah belikan pakaian raya, bayar zakat fitrah'