Pemilik akaun FB hina Nabi perlu dikenakan tindakan tegas

3
3
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook yang memuatnaik gambar menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri, Saidatina Aisyah.

Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslimin Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, gesaan ini juga dibuat kepada polis kerana tindakan individu itu bukan sahaja menghina agama Islam malah boleh menggugat keharmonian dan keamanan negara ini.

“Kami mahu siasatan dan tindakan undang-undang diambil terhadap pemilik akaun FB itu yang sengaja mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini.

“Penghinaan yang dibuat kali ini terhadap Nabi Muhammad SAW dan isteri amat keterlaluan dan sangat melampau,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini.

Amir Amsaa berkata, tindakan tegas tetap perlu diambil pihak berkuasa walaupun ada kemungkinan individu ini membuat permohonan maaf di Facebooknya.

Antara NGO yang membuat laporan polis berkenaan adalah Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (Gegas), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) dan Majlis Bendahara dan Akhlak Rahsia Cekal (ARC) membuat laporan polis berhubung kejadian.

Laporan dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM mengambil tindakan sewajarnya.

Artikel Berkaitan: