JDT tidak akan peram Shahrul, De Paula

De Paula (kiri) dan Shahrul bakal menjadi tonggak penting buat JDT. - Foto FB Johor Southern Tigers
De Paula (kiri) dan Shahrul bakal menjadi tonggak penting buat JDT. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) tidak akan meletakkan Shahrul Saad dan Guilerme De Paula hanya di bangku simpanan selepas kedua-dua bekas tonggak Perak FC itu sah menyarung jersi pasukan Harimau Selatan.

Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora berkata, kedua-dua pemain itu amat diperlukan untuk menambah kekuatan pasukan apatah lagi mereka juga sudah terbukti antara pemain terbaik di negara ini.

"Apabila mereka tiba di Johor dan mula berlatih, kami akan tengok apa yang boleh dilakukan. Namun, sudah tentu kami akan menggunakan mereka berdua.

"Kehadiran mereka menambah kekuatan dan kami memiliki banyak pemain dengan corak permainan berbeza. Untuk Shahrul, dia masih dalam kecederaan dan kami akan lihat keputusan kecederaan tersebut.

"De Paula pula dia sudah buktikan dia penyerang yang bagus. Memiliki gaya permainan yang berbeza dengan Bergson. Itu satu kelebihan apabila memiliki pemain yang berbeza gaya permainan.

"Malah, kami juga perlu harungi Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan perlu ramai pemain berkualiti untuk menghadapi kejohanan tersebut," katanya.

Pada Sabtu, Shahrul dan De Paula sah menyertai JDT selepas dikaitkan dengan kemelut pembayaran tunggakan gaji oleh Perak FC.

ARTIKEL BERKAITAN: Shahrul, De Paula perkuat Harimau Selatan

Artikel Berkaitan:

Namun, kelibat kedua-dua mereka tidak kelihatan ketika JDT melakar kemenangan 3-0 ke atas Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya pada Sabtu.

"Kemenangan ke atas Penang FC adalah antara kemenangan terbaik pasukan di gelanggang lawan. Kami menentang pasukan yang sukar, jurulatih yang bagus dan gaya permainan mereka yang baik.

"Saya berpuas hati kerana JDT menutup permainan kali ini (sebelum rehat panjang) dengan kemenangan tiga mata,” katanya