X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Penggunaan fasiliti kesihatan di Pahang membimbangkan

Dr Sallehuddin meninjau proses saringan Covid-19 yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Ahad.
A
A

KUANTAN - Kadar penggunaan fasiliti kesihatan bagi pesakit Covid-19 di hospital awam di negeri ini sudah mencapai tahap 50 peratus.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata, perkembangan itu agak membimbangkan kerana kadar penggunaan kemudahan kesihatan termasuk katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi kes ini naik mendadak.

Menurutnya, berbanding minggu lalu, penggunaan kemudahan kesihatan ini hanya pada 30 peratus namun naik kepada 50 peratus dalam tempoh seminggu sahaja.

"Setakat ini terdapat 10 pesakit Covid-19 dirawat di ICU dan jika melebihi 20 orang, itu satu perkembangan yang amat dibimbangkan," katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan proses saringan Covid-19 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Ahad.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali dan Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah.

Dr Sallehuddin juga bimbang kadar peningkatan kes yang mendadak di Pahang akan turut menjejaskan petugas barisan hadapan terutama dalam kalangan kakitangan kesihatan.

Beliau berkata, jika kes Covid-19 tidak menurun kemungkinan hospital tidak mampu menampung kemudahan pesakit hingga keadaan tidak terkawal.

Dr Sallehuddin berkata, situasi itu antara sebab kerajaan melakukan keputusan drastik semalam untuk melaksanakan PKP di Kuantan.

Sementara itu katanya, berhubung prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri belum ada sebarang keputusan dibuat setakat ini.

"Perkara ini mungkin akan diumumkan sehari dua lagi dan sekiranya SOP itu dikeluarkan orang ramai perlu akur dan mematuhinya," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!