Pemansuhan hutan simpan perlu pendengaran awam

Muhamad Hafizudin ketika ditemui media selepas pertemuan dengan Ahmad Faizal.
Muhamad Hafizudin ketika ditemui media selepas pertemuan dengan Ahmad Faizal.
A
A
A

IPOH - Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) menyarankan Kerajaan Perak mengadakan sesi pendengaran awam sebelum memansuhkan hutan simpan di negeri ini.

Pengerusinya, Mohamad Hafizudin Mohd Nasarudin berkata, cadangan itu dikemukakan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu pertemuan bersama Sahabat Alam Malaysi (SAM), hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Perak perlu mencontohi Kerajaan Selangor yang menjadi satu-satunya negeri membuat pendengaran awam sebelum bertindak memansuhkan hutan simpan di negeri itu.

"Kita harapkan Perak menjadi negeri kedua (buat sesi pendengaran awam) kerana sewaktu pendengaran awam itu kita tahu segala maklumat dan kita boleh capai kata persetujuan. Segala program pembangunan selepas itu boleh berjalan lancar.

"Selama ini perkara itu tidak terjadi, maklumat dibuat secara rahsia dan sebagainya sekaligus menyebabkan konflik banyak terjadi," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Ahmad Faizal di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Mengenai pertemuan itu, Mohamad Hafizudin berkata, secara umumnya pertemuan tersebut agak positif dan perbincangan banyak berkisar tentang isu alam sekitar, pencerobohan hutan, pembangunan lestari dan sebagainya.

Menurutnya, dalam pertemuan itu, Kuasa meminta ketelusan maklumat dan demokrasi daripada kerajaan negeri untuk menghebahkan seawal mungkin apa-apa projek pembangunan termasuk perlombongan, pembalakan dan sebagainya supaya rakyat tahu lebih awal sekaligus mengelak konflik selepas itu.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Faizal (kiri) bersama-sama pihak Jabatan Perhutanan Perak melayan kunjungan SAM di pejabatnya, di sini, hari ini.
Ahmad Faizal (kiri) bersama-sama pihak Jabatan Perhutanan Perak melayan kunjungan SAM di pejabatnya, di sini, hari ini.

"Dalam isu pencerobohan haram hutan, kami sebagai NGO berharap agar kerajaan negeri mengiktiraf mereka sebagai pihak pemantau ketiga.

"Kami memang nak membantu agensi-agensi kerajaan untuk melihat kawasan mana yang telah diceroboh, kawasan mana yang sesuai dibuat pembangunan, kawasan mana tak boleh buat pembangunan," katanya.

Mohamad Hafizudin berkata, pihaknya turut mengharapkan Kerajaan Perak mengikut segala dasar-dasar yang telah ditetapkan seperti Dasar Rancangan Fizikal Negeri yang menetapkan tiada sebarang ladang hutan boleh dibuat di dalam kawasan Central Forest Pine kerana akan melibatkan kawasan konflik hidupan liar, pencemaran dan sebagainya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut membentang cadangan transisi pembangunan lebih lestari yang dipanggil sebagai Ekonomi Hijau.

"Pelan ini telah dibuat sejak tahun 2017 tetapi tidak dapat dilaksanakan sebab tertangguh. Saya harap dengan kerajaan baharu ini kita dapat teruskan balik pelan ini.

"Pelan ini penting untuk kita transisi ekonomi yang selama ini mengharapkan kemusnahan alam sekitar, kita tukar kepada ekonomi yang lebih lestari dan hijau dengan perancangan yang lebih menarik," katanya.

Katanya, satu jawatankuasa khas juga perlu ditubuhkan yang dianggotai pelbagai agensi teknikal, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti untuk bersama-sama berbincang bagaimana merencana pembangunan Perak.

Sementara itu, Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop yang turut berada dalam pertemuan itu berkata, pihaknya akan bekerjasama sepenuhnya dengan SAM untuk menambah baik pengurusan hutan di Perak.

Katanya, pertemuan demi pertemuan akan dibuat bersama SAM membincangkan pelbagai isu berkaitan hutan di negeri ini.