Sultan Kedah ziarah Muhammad Adib

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah tiba kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
A
A

KUALA LUMPUR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan mencemar duli menziarahi anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Muhammad Adib Mohd Kassim di Institut Jantung Negara, sebentar tadi.

Baginda tiba jam 12.10 tengah hari tadi dan meluangkan masa menziarahi Muhammad Adib yang juga anak jati Kedah itu selama 30 minit.

Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya itu dipercayai dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, kelmarin.

Muhammad Adib dilaporkan mengalami patah tulang rusuk dengan kesan lebam di bahagian dada.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Menteri kecam tindakan perusuh ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Muhammad Adib ditarik dari jentera ketika pasukan berundur ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan kuil: PDRM tubuh pasukan khas ]

Dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) termasuk van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dinaiki Muhammad Adib diserang dengan balingan batu dan objek lain menyebabkan berlaku kerosakan pada cermin serta badan kenderaan itu.

Dalam situasi panik untuk berundur, mangsa telah ditarik keluar dari tempat duduk penumpang van EMRS oleh perusuh dan dipercayai dipukul sehingga tidak sedarkan diri.

Beliau kemudian dikejarkan ke SJMC sebelum dipindahkan ke IJN pada jam 11.30 malam kelmarin dan dilaporkan mengalami patah tulang rusuk dengan kesan lebam di bahagian dada.