Geng Nicky: Polis temui petunjuk baharu

Ayob Khan Mydin Pitchay
Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor mendedahkan terdapat petunjuk baharu yang ditemui hasil daripada siasatan terhadap suspek yang ditahan dipercayai terbabit dengan kumpulan jenayah terancang dikenali Geng Nicky.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bagaimanapun berkata, pihaknya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan kerana siasatan masih berjalan.

"Suspek yang ditangkap masih menjalani proses soal siasat. Banyak petunjuk baharu yang timbul daripada siasatan yang dijalankan itu.

"Kita tunggu dahulu, jika ada sebarang perkembangan nanti, saya akan maklumkan," katanya ketika melakukan tinjauan sekatan jalan raya ( SJR) di Jalan Seelong di sini pada Ahad.

Dalam pada itu Ayob Khan menegaskan suspek yang dipercayai terlibat dengan Geng Nicky yang telah dibebaskan sebelum ini bukan dilepaskan dari tuduhan.

Sebaliknya suspek tersebut dilepaskan dengan jaminan polis bagi membolehkan kertas siasatan dilengkapkan.

"Ada orang tanya, kenapa suspek yang ditangkap sebelum ini dibebaskan. Mereka dibebaskan dengan jaminan polis bukan dibebaskan sebebas-bebasnya.

"Ia bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan kemudian akan ditentukan untuk dituduh di mahkamah atau tidak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan seorang pegawai penyiasat kanan polis yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky dibebaskan dengan jaminan polis pada Rabu.

Perkara itu dimaklumkan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Asisten Superintendan, Baldev Singh Gurdial Singh, 36, ketika dihubungi pemberita pada Khamis.

Pada 9 April lalu, seramai 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan dalam buruan Nicky Liow Soon Hee didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan terbabit dalam kumpulan Geng Nicky.

Nicky, 33, merupakan pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Ops Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lalu.