Polis KL tubuh 91 pasukan pantau pematuhan SOP

Polis melakukan tinjauan di bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Polis melakukan tinjauan di bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur menubuhkan 91 pasukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sekitar Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pasukan yang terdiri daripada lima pegawai dan 1,200 anggota itu ditempatkan di lokasi tumpuan untuk memastikan pematuhan SOP yang telah ditetapkan.

Menurut Azmi, pihaknya turut mendapat kerjasama 61 pasukan yang terdiri daripada beberapa agensi.

“Anggota yang bertugas akan beri peringatan demi peringatan kepada orang ramai supaya mereka sentiasa patuh kepada SOP sepanjang berada di tempat awam.

“Kita tidak terus keluarkan kompaun kecuali jika ada individu yang tetap berdegil dan mengambil sikap sambil lewa walaupun sudah dinasihatkan beberapa kali,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau pematuhan SOP di bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Mengulas lanjut mengenai kekeliruan peniaga berhubung arahan penutupan bazar Aidilfitri itu dengan segera oleh pihak penganjur, Azmi berkata, wujud salah faham antara dua pihak terbabit.

“Saya ada ditanya oleh peniaga mengenai perkara itu dan saya sendiri menghubungi MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk mendapatkan penjelasan.

Artikel Berkaitan:

“Peniaga dibenar meneruskan perniagaan sehingga jam 10 malam ini. Bazar ini mesti dikosongkan bermula esok bagi tujuan sanitasi. Manakala premis yang tersenarai dalam Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) mesti ditutup tiga hari,” katanya.