1,060 kenderaan cuba masuk Kelantan diarah patah balik

Ada yang sanggup memandu jauh dari negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor dan Johor untuk pulang ke Kelantan bagi menyambut perayaan Aidilfitri di kampung halaman. - Gambar fail.
Ada yang sanggup memandu jauh dari negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor dan Johor untuk pulang ke Kelantan bagi menyambut perayaan Aidilfitri di kampung halaman. - Gambar fail.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 1,060 kenderaan yang mencuba nasib untuk memasuki Kelantan menjelang Aidilfitri melalui sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri ini diarahkan berpatah balik sehingga pagi Sabtu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, mereka dikesan tidak mempunyai surat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), memalsukan surat kebenaran dan memberikan alasan kecemasan tanpa bukti kukuh.

Menurutnya, mereka sanggup memandu jauh dari negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor dan Johor untuk pulang ke Kelantan bagi menyambut perayaan Aidilfitri di kampung halaman.

“Mereka berjaya melepasi SJR di negeri lain, namun diarah berpatah balik dan tidak dibenarkan masuk ke Kelantan.

“Pemeriksaan terperinci mendapati mereka tidak ada surat perjalanan yang sah dan ada juga yang palsu bagi mencuba nasib masuk ke Kelantan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, polis turut mengetatkan kawalan di tiga SJR sempadan negeri iaitu Jeli, Pasir Puteh dan Gua Musang menjelang Aidilfitri.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta rakyat menghentikan aktiviti berbuka puasa di persisir sungai Kelantan di Lembah Sireh kerana salah dari segi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Artikel Berkaitan: