Lelaki Myanmar mati dibunuh, polis tahan 13 warga asing

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan 13 lelaki warga asing kira-kira tiga jam selepas mayat seorang lelaki warga Myanmar ditemukan dengan kesan tikaman di badannya di Jalan Senai Jaya 2, Taman Senai Jaya, Senai, dekat Kulai pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, lelaki Myanmar berusia lingkungan 30-an itu ditemukan dalam keadaan terbaring berlumuran darah dengan beberapa kesan kecederaan oleh seorang lelaki warga Nepal di atas jalan raya tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, kira-kira jam 5.40 pagi.

“Pemeriksaan awal pada tubuh badan si mati mendapati terdapat kesan kecederaan akibat ditikam di bahagian belakang leher, bahu kanan dan kiri, dada kanan serta perut. Sebilah pisau pemotong sayur ditemukan di sisi mayat,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, kira-kira tiga jam kemudian polis menahan tiga warga Myanmar dan 10 warga India berumur antara 22 dan 50 tahun, serta merampas beberapa baju mereka bagi membantu siasatan.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku akibat pergaduhan melibatkan si mati dan beberapa individu yang mabuk ketika itu.

Beng Yeow berkata, kesemua mereka direman sehingga 14 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

Artikel Berkaitan: