Ayob Khan sahkan terima notis saman fitnah RM50 juta

AYOB KHAN
AYOB KHAN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan sudah menerima notis saman fitnah RM50 juta yang dituntut peguam Kamal Hisham Ja'afar pada 2 Mei lalu.

Beliau berkata masih menunggu tarikh perbicaraan di mahkamah dan menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah berhubung notis saman berkenaan.

"Itu hak dia, kita tunggulah perbicaraan di mahkamah nanti.

"Sepatutnya tidak timbul isu ini (saman fitnah), dia (Kamal Hisham) ditangkap dan dituduh di mahkamah (kes penipuan pengiklanan), bila di mahkamah, dia boleh bela diri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di sekatan jalan raya (SJR) di Seelong di sini hari ini.

Pada 2 Mei lalu, notis saman fitnah terbabit diserahkan peguam berkenaan menerusi Tetuan Kamal Hisham & Associates kepada Ayob Khan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Notis tuntutan itu dipercayai berkaitan sidang akhbar yang dilakukan Ayob Khan berkaitan seorang peguam memperdaya sebuah syarikat pengiklanan dengan menyamar sebagai peguam Istana Johor yang diadakan pada 22 April lalu.

Notis guaman itu antara lainnya mendakwa Ayob Khan telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang berniat jahat dan tidak benar.

Artikel Berkaitan:

Dalam sidang akhbar itu, Ayob Khan didakwa memaklumkan terdapat laporan polis yang mendakwa peguam itu menyamar sebagai peguam Istana Johor selain peguam tersebut melakukan kesalahan jenayah berkaitan pengubahan wang haram.

Susulan itu, Ayob Khan dituntut untuk membayar pampasan berjumlah RM50 juta sebagai bagi kerosakan imej dan reputasi akibat kenyataan yang dikeluarkan.

Sementara itu, Ayob Khan turut memaklumkan pihaknya belum menerima notis tuntutan secara rasmi berhubung dakwaan sebuah syarikat perkapalan yang beralamat di Cook Island menuntut ganti rugi RM123 juta.

"Kita sudah berurusan dengan peguam yang dilantik syarikat perkapalan itu, saya tidak pasti macam mana individu tersebut kata kita disaman.

"Tidak ada benda (notis) yang rasmi, hanya melalui media sosial, itu bukan cara kita nak keluarkan notice of demand, itu tak ikut prosedur,"katanya.

Pada 10 Mac lalu, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua melakukan rampasan rokok seludup terbesar dalam sejarah negara bernilai RM52 juta selepas menahan sebuah kapal kargo di Perairan Pantai Barat berhampiran Pulau Kukup pada 8 Mac lalu.