Aktivis Malaysia menang anugerah global

Usaha Jchanet Tan (kiri) memulakan kempen peribadi mengenai keselamatan penumpang kanak-kanak lima tahun lalu, diiktiraf apabila Parlimen Malaysia meluluskan undang-undang keselamatan penumpang kanak-kanak yang pertama di negara ini pada Januari tahun lalu.
Usaha Jchanet Tan (kiri) memulakan kempen peribadi mengenai keselamatan penumpang kanak-kanak lima tahun lalu, diiktiraf apabila Parlimen Malaysia meluluskan undang-undang keselamatan penumpang kanak-kanak yang pertama di negara ini pada Januari tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lagi rakyat Malaysia mengharumkan nama negara ini di pentas dunia apabila memenangi Anugerah Child Passenger Safety International Instructor of the Year daripada sebuah pertubuhan di Amerika Syarikat (AS).

Usaha Jchanet Tan yang memulakan kempen peribadi mengenai keselamatan penumpang kanak-kanak lima tahun lalu, diiktiraf apabila Parlimen Malaysia meluluskan undang-undang keselamatan penumpang kanak-kanak yang pertama seumpamanya di negara ini pada Januari tahun lalu.

Menurut kenyataan National Child Passenger Safety Board yang berpangkalan di Illinois, Jchanet berazam untuk mengubah budaya di Malaysia dengan melobi penggubalan undang-undang berkenaan pada ketika Malaysia mencatatkan jumlah kematian kanak-kanak dalam nahas jalan raya 10 kali ganda lebih banyak berbanding AS.

“Beliau berbicara tentang asas dinamik kemalangan dan keperluan untuk berubah. Bayi dipangku di atas riba si ibu di kerusi penumpang hadapan kenderaan. Van sekolah yang sarat dengan kanak-kanak tidak bertali pinggang keledar serta imej kemalangan maut sering disiarkan oleh media,” demikian menurut kenyataan itu.

Entiti AS itu berkata, pada 2017, Jchanet menggunakan duit sendiri untuk ke AS bagi menghadiri kursus latihan Pensijilan Juruteknik Keselamatan Penumpang Kanak-kanak Nasional (CPST) dan pada Mac tahun berikutnya, beliau berstatus pengajar.

Beliau kemudian membantu mengadakan kursus latihan pensijilan CPST yang pertama di Malaysia dan hingga kini telah melatih 77 juruteknik termasuk 12 di Singapura.

Selain itu, Jchanet turut menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan pertama di negara ini yang khusus memastikan keselamatan kanak-kanak di jalan raya. Kumpulan Facebook yang berkaitan yang merangkumi golongan profesional dan penjaga, kini mempunyai 27,000 pengikut.

Mengulas mengenai anugerah itu, Pengerusi National Child Passenger Safety Board Lonny Haschei berkata: " Atas inisiatifnya sendiri beliau menjadi juruteknik dan pengajar. Beliau seorang pengubah keadaan dan telah menunjukkan bahawa tidak ada had atau batasan dalam isu keselamatan penumpang kanak-kanak.”

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jchanet memberitahu beliau “tidak menduga dan terkejut” apabila dinamakan sebagai penerima anugerah yang turut diintai oleh lapan lagi calon antarabangsa.

Katanya, walaupun undang-undang keselamatan penumpang kanak-kanak sudah tersedia, masih banyak yang perlu dilakukan bagi mewujudkan kesedaran masyarakat tentang keselamatan penumpang-kanak-kanak.

Sebagai seseorang yang terlibat dalam Majlis Keselamatan Jalan Raya serta Jabatan Keselamatan Jalan Raya sejak lima tahun lalu, beliau berkata, kempen mereka kebanyakannya bermusim dan tidak mewujudkan sebarang kesan.

“Cuba tengok pada undang-undang berkaitan tali pinggang keledar untuk tempat duduk belakang yang dikuatkuasakan pada 2009. Hingga sekarang kadar pematuhan adalah rendah, tahap kesedaran lagilah rendah. Jika mereka patuh pun, pemakaian tali pinggang keledar itu bukan demi keselamatan tapi untuk mengelak disaman,” katanya.

Jchanet juga berkata, pasukannya yang terdiri daripada pakar keselamatan penumpang kanak-kanak yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, memerlukan endorsemen rasmi bagi membolehkan mereka mendapatkan penajaan untuk program mereka.

“Semua program kami yang terdahulu ditaja. Petronas merupakan antara penyokong kuat kami sebelum pandemik Covid-19,” katanya. - Bernama