Permohonan rentas daerah meningkat

Pergerakan atas sebab khas atau tertentu yang memerlukan pergerakan dari satu daerah ke daerah lain perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pegawai polis.
Pergerakan atas sebab khas atau tertentu yang memerlukan pergerakan dari satu daerah ke daerah lain perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pegawai polis.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah menerima antara 500 hingga 600 permohonan rentas negeri dan daerah setiap hari tetapi perlu diteliti bagi mengelak disalahgunakan untuk tujuan peribadi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, trend permohonan rentas negeri menurun antara 40 hingga 50 peratus setakat Jumaat berbanding rentas daerah.

Menurutnya, dianggarkan antara 150 hingga 200 permohonan ditolak bagi setiap daerah, bermula 1 Mei hingga 6 Mei lalu.

“Polis Kedah tidak akan menutup permohonan sehingga menjelang hari raya namun hanya alasan dibenarkan akan diberikan keutamaan iaitu kes kecemasan seperti kematian, pekerjaan, perubatan dan pasangan jarak jauh. Bagaimanapun permohonan itu akan diteliti sebelum kebenaran merentas negeri diberikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Hasanuddin berkata, setakat ini, pihaknya tidak mengesan permohonan rentas negeri yang disalahgunakan bagi tujuan lain.

“Tahun lepas kita dapat kesan surat kebenaran yang diberikan bagi suatu masa tertentu telah dipinda pemohon ke tempoh yang lebih lama. Kes yang berlaku di Pendang itu adalah bawah kesalahan pemalsuan dokumen dan disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

"Sekiranya dibuktikan maklumat diberikan palsu, sedangkan pemohon tahu bahawa ia boleh mengundang bencana kepada orang lain iaitu penyakit berjangkit, kesalahan boleh didakwa bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, siasatan sepenuhnya akan dijalankan sekiranya didapati ada pihak menyalahgunakan kebenaran mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

Artikel Berkaitan:

“Antara kesalahan salahguna permohonan ialah mengemukakan maklumat palsu bagi maksud menipu atau menggunakan dokumen palsu sebagai tulen.

Tambah Hasanuddin, pergerakan atas sebab khas atau tertentu yang memerlukan pergerakan dari satu daerah ke daerah lain perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pegawai polis.

"Bagaimanapun tiada siapapun boleh melakukan, menganjurkan, mengusahakan atau terlibat dalam aktiviti yang dilarang,” katanya.

Sebanyak lima daripada 12 daerah di seluruh Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 hingga 14 Mei, iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim.

Kedah pula masih lagi kekal sebagai negeri berstatus PKP Pemulihan (PKPP) sehingga 17 Mei depan melibatkan tujuh daerah selebihnya.