Hasrat PATI Indonesia pulang beraya tak kesampaian

Sebahagian PATI Indonesia yang ditahan di kawasan paya bakau Jalan Benteng Kiri, Kapar di sini pada Sabtu.
Sebahagian PATI Indonesia yang ditahan di kawasan paya bakau Jalan Benteng Kiri, Kapar di sini pada Sabtu.
A
A
A

KLANG - Hasrat 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) pulang menyambut Aidilfitri ke negara asal menggunakan laluan laut tidak kesampaian apabila ditangkap pasukan keselamatan di kawasan paya bakau Jalan Benteng Kiri, Kapar di sini pada Sabtu.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Semenyih, Superintendan Rizal Mohamed berkata, kesemua mereka itu ditahan pada jam 3 petang.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan dalam operasi bersepadu Batalion 4 PGA Semenyih bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan Pasukan Polis Marin, Pelabuhan Klang.

"Dalam operasi itu, kami telah menahan 16 lelaki dan empat wanita warganegara Indonesia berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Rizal berkata, hasil siasatan mendapati, kesemua warganegara Indonesia tersebut dipercayai cuba keluar dari Malaysia menggunakan jalan laut yang tidak diwartakan.

"Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan polis telah menjumpai sebuah bot bersama enjin dipercayai digunakan sebagai pengangkutan laut dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM42, 000," ujarnya.

Beliau memberitahu, kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Kapar untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1956/63.

"Kesemua tangkapan akan menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus dalam kalangan pesalah dan juga petugas PDRM, manakala bot dan enjin diserah kepada Pasukan Polis Marin, Pelabuhan Klang," katanya.

Artikel Berkaitan: