X

Kindly register in order to view this article
!

Guardiola enggan salahkan Aguero

Aguero melakukan sepakan penalti panenka namun penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy mudah menangkap sepakan tersebut. - Foto Getty Images
A
A

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola enggan menyalahkan Sergio Aguero selepas penyerangnya itu gagal menjaringkan penalti ketika pasukan itu tewas 1-2 kepada Chelsea di Stadium Etihad pada awal pagi Ahad.

Beliau menegaskan Aguero bukan pemain yang mementingkan diri dengan keputusan untuk melakukan sepakan panenka selain kegagalan untuk menyempurnakan penalti adalah perkara biasa dalam bola sepak.

"Jika dia menjaringkan gol, anda akan katakan dia genius. Saya sering katakan kepada pemain untuk buat keputusan sama ada mahu lakukan sepakan panenka, kanan atau ke kiri. Pilih sahaja.

"Aguero adalah pemain yang cukup sensasi dan saya tidak akan mengkritiknya selepas apa yang telah dilakukan sepanjang dia berada di sini.

Pep Guardiola
Pep Guardiola

"Dia telah buat keputusan untuk melakukan panenka walaupun tiada siapa yang menjangkakannya. Dia yakin dan melakukannya, tiada masalah buat saya," katanya.

City mendahului menerusi gol Raheem Sterling sebelum pengadil menghadiahkan penalti kepada City selepas Billy Gilmour menjatuhkan Gabriel Jesus dalam kotak penalti.

Aguero yang merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman buat City melakukan sepakan penalti panenka namun penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy tidak terpedaya dan mudah menangkap sepakan tersebut.

Kegagalan menyempurnakan penalti tersebut memberikan kesan besar kepada City dengan Chelsea bangkit dua gol menerusi Hakim Ziyech dan Marcos Alonso sekali gus menangguhkan pesta kejuaraan EPL The Citizens.

"Memang keputusan ini memberikan kesan kerana kami terlepas untuk merayakan EPL lebih awal. Namun, ia bukanlah masalah besar kerana kami masih berada di landasan terbaik untuk menang kejuaraan liga," kata Guardiola.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!