X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga pemilik premis ditahan jual barangan tiruan

Antara beg yang dirampas dalam Operasi Bersepadu KPDNHEP Cawangan Temerloh di Taman Jaya, Kemayan, Bera pada Jumaat. - Foto ihsan KPDNHEP
A
A

TEMERLOH - Tiga pemilik premis termasuk seorang wanita ditahan dalam Operasi Bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Temerloh di Taman Jaya, Kemayan, Bera pada Jumaat.

Dalam operasi kira-kira jam 4 petang itu, sebanyak 706 unit barangan terdiri daripada beg, dompet dan topi menggunakan cap dagangan jenama antarabangsa pelbagai jenis serta saiz dirampas dengan nilai keseluruhan kira-kira RM70,600.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Temerloh, Abdul Razak Yahaya berkata, tiga individu tersebut berusia 30 hingga 40-an ditahan untuk siasatan lanjut selepas mengaku sebagai pemilik premis terbabit.

Menurutnya, operasi tersebut dilakukan bagi membanteras aktiviti jualan barangan tiruan, penggunaan cap dagangan tanpa kelulusan dan tanpa kebenaran.

"Seramai 13 pegawai penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Temerloh bersama tiga wakil pemilik cap dagang terbabit dalam operasi ini.

"Kita melakukan serbuan serentak di tiga premis berlainan melalui aduan wakil pemilik cap dagang tersebut hasil daripada pemantauan dan risikan pihak pengadu selama seminggu.

"Serbuan di tiga buah premis itu disyaki menjual atau menawarkan untuk menjual barang-barang yang cap dagangan antarabangsa yang dipakaikan secara salah secara atas talian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Temerloh melihat antara barangan rampasan dalam operasi bersepadu di Taman Jaya, Kemayan, Bera pada Jumaat. - Foto ihsan KPDNHEP
Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Temerloh melihat antara barangan rampasan dalam operasi bersepadu di Taman Jaya, Kemayan, Bera pada Jumaat. - Foto ihsan KPDNHEP

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, semasa serbuan dilakukan mendapati premis merupakan unit rumah kediaman yang dijadikan pusat jualan dan stor bagi penyimpanan barang-barang cap dagangan antarabangsa yang dipakaikan secara salah.

Jelasnya, modus operandi dengan membuat pembelian dari luar negara barangan tiruan berjenama terkenal seterusnya menjual secara dalam talian dan langsung dengan harga RM250 hingga RM300 bagi mengaburi pihak berkuasa supaya tidak dapat mengesan aktiviti yang dijalankan.

"Kes disiasat dibawah Akta Cap Dagangan 2019 kerana disyaki melakukan kesalahan iaitu menjual atau menawarkan untuk menjual apa-apa barangan yang cap dagangan dipakaikan dengan salah.

"Kita juga ingin memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga yang dengan niat melakukan aktiviti tidak bermoral ini supaya menghentikannya segera kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mereka seterusnya berdepan tindakan berat serta denda tinggi," jelasnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!