X

Kindly register in order to view this article
!

Ketua sindiket dadah bergelar Datin ditahan

Datin berusia 48 tahun (tengah) bersama tiga lagi wanita dipercayai ahli geng Sindiket Datin dikawal ketat polis ketika dibawa ke Mahkamah Kota Bharu bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Sindiket pengedaran dadah didalangi seorang wanita warga Thailand bergelar Datin berjaya ditumpaskan polis dalam lima serbuan di Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Mas pada Rabu hingga Jumaat.

Serbuan menemui pil kuda berjumlah 642,000 butir dan 15 kilogram (kg) syabu keseluruhannya bernilai hampir RM7 juta.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, menerusi serbuan tersebut, ahli perniagaan berusia 48 tahun itu ditahan bersama ahli geng Sindiket Datin terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita berusia 23 hingga 47 tahun.

Menurutnya, bertindak atas maklumat polis terlebih dulu menahan dua daripada mereka dalam sebuah kereta jenis Perodua MyVi di Kampung Kedai Mulong pada jam 4 petang.

“Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan dinaiki dua suspek lelaki itu menemui beg plastik yang mengandungi 17 bungkusan dadah dipercayai syabu yang dianggarkan seberat 15 kilogram bernilai RM540,000.

“Datin ini berselindung di sebalik perniagaan kosmetik dan ada kaitan dengan penahanan dalam serbuan dadah oleh Polis Kelantan sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini pada Ahad.

Beliau berkata, polis turut merampas empat kereta pelbagai jenis, dua jam tangan berjenama, barangan kemas dan wang tunai RM10,500 yang keseluruhannya berjumalah RM218,000.

Bagaimanapun kesemua mereka negatif dadah.

Sementara itu, pada serbuan lain membabitkan Sindiket Mat Yo ditumpaskan polis dalam serbuan di sebuah apartmen di Sri Cemerlang, Kota Bharu dan Tanah Merah.

“Tiga lelaki termasuk dua warga Thailand berusia 32 sehingga 43 tahun ditahan dan seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau kesalahan dadah.

"Mereka juga didapati positif metamphetamine.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai dadah jenis pil kuda dalam beg plastik, dalam tiga tong sampah hitam yang ditanam di tempat letak kereta dan dalam guni berjumlah 642,000 dianggarkan bernilai RM6.4 juta,” katanya.

Ujar beliau, kesemua suspek dua geng sindiket itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Sabit kesalahan mengikut peruntukkan seksyen berkenaan boleh dihukum gantung mandatori,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!