X

Kindly register in order to view this article
!

Chelsea mampu julang trofi Liga Juara-Juara

Pemain Chelsea meraikan jaringan Ziyech ketika menentang Manchester City pada awal pagi Ahad.
A
A

KEJAYAAN menundukkan Manchester City 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Etihad pada awal pagi Ahad memberikan keyakikan buat The Blues menjelang aksi final Liga Juara-Juara pada 30 Mei depan.

Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel berkata, walaupun aksi domestik dan di peringkat Eropah sangat berbeza namun dia percaya para pemainnya sudah mampu untuk membaca setiap taktikal yang digunakan City.

The Blues sebelum ini berjaya menyingkirkan City di peringkat separuh akhir Piala FA dan dalam aksi EPL sekali gus memberikan keyakinan untuk pasukan itu menewaskan lawan sama pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara.

"Sudah tentu ia memberikan keyakinan kerana segalanya berkaitan prestasi dan keyakinan. Kami memahaminya namun perlawanan akhir Liga Juara-Juara sangat unik.

"Kami tidak boleh membuat jangkaan selain perlu bersedia sepenuhnya. Namun, kami tiba di Istanbul nanti dengan keyakinan bahawa kami mampu untuk menewaskan mereka.

"Elemen keyakinan itu sudah ada dalam diri setiap pemain dan ia tidak akan berubah sehingga perlawanan di Istanbul nanti," katanya.

Dalam perlawanan itu, Chelsea terlebih dahulu ketinggalan menerusi gol Raheem Sterling dan terselamat daripada jaringan penalti yang dilakukan Sergio Aguero sebelum separuh masa pertama berakhir.

The Blues bangkit dengan dua gol menerusi jaringan Hakim Ziyech dan Marcos Alonso untuk memastikan tiga mata penuh dan menangguhkan pesta kejuaraan liga City.

Mengulas lanjut, Tuchel menyifatkan kunci kemenangan buat pasukannya pada perlawanan tersebut adalah kemampuan para pemain untuk mengawal perlawanan.

"Persembahan yang sangat baik pada separuh masa kedua. Jika mereka berjaya menjaringkan penalti itu, mungkin semuanya sudah berakhir.

"Saya rasa kami layak untuk menang perlawanan ini kerana kami mempunyai banyak peluang dan persembahan yang sangat luar biasa pada sepauh masa kedua," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!