X

Kindly register in order to view this article
!

Empat persatuan gesa tangguh HIDE

Kenyataan bersama dikongsi di laman Facebook PPK pada Ahad.
A
A

SHAH ALAM - Empat persatuan menggesa kerajaan menangguhkan segera pengumuman mengenai maklumat diperoleh daripada sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE) sehingga asasnya jelas, tepat dan terperinci disertakan bersama maklumat dikeluarkan.

Empat persatuan terbabit mendakwa dengan wujudnya maklumat tidak tepat dalam senarai titik panas berkenaan, ia menganggu kelangsungan perniagaan terutama bagi premis yang diletakkan di bawah lokasi titik panas penularan Covid-19.

“Memandangkan terdapat maklumat tidak tepat dalam senarai ‘hotspot,’ kami percaya cadangan penutupan untuk sanitasi adalah sesuatu yang pramatang dan akan mendatangkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan terhadap persepsi serta pemulihan dan kelangsungan perniagaan.

“Cadangan penutupan ini sepatutnya ditangguhkan sehingga data yang digunakan dalam HIDE telah disahkan dan lokasi hotspot dikenal pasti dengan tepat,” kata persatuan terbabit dalam kenyataan bersama di Facebook Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK) pada Ahad.

Selain PPK yang mewakili pusat beli-belah, tiga lagi persatuan mewakili industri peruncitan di seluruh negara dalam kenyataan bersama itu ialah Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) dan Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO).

Pada Sabtu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik sebagai berkata, premis termasuk bazar Ramadan yang disenaraikan di bawah sistem HIDE sebagai lokasi berisiko Covid-19 dalam penularan virus itu akan diarahkan tutup selama tiga hari berkuat kuasa serta-merta.

Keseluruhannya terdapat 151 titik panas disenaraikan di bawah sistem HIDE sebagai lokasi berisiko Covid-19 dengan di Kuala Lumpur sahaja terdapat 66 lokasi yang disenarai manakala Selangor pula sebanyak 54 lokasi.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama tersebut, empat persatuan terbabit turut menekankan dan mengulangi bahawa keselamatan pelanggan yang berkunjung adalah keutamaan di pusat beli-belah.

Menurut mereka, dengan kewujudan semua SOP yang diperlukan termasuk langkah meningkatkan pembersihan serta pembersihan berkala, pusat beli-belah adalah tempat yang selamat dikunjungi.

ARTIKEL BERKAITAN: Bazar Ramadan, Aidilfitri PKP ditutup mulai Isnin ini

Senarai HIDE mengandungi lokasi premis berisiko dikeluarkan


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!