X

Kindly register in order to view this article
!

Keganasan Israel: Jangan sekadar hantar nota bantahan

Kerajaan Malaysia disaran menghentikan semua hubungan diplomatik dengan mana-mana negara Arab yang menjalinkan hubungan dengan Israel.
A
A

KUANTAN - Kerajaan Malaysia disaran menghentikan semua hubungan diplomatik dengan mana-mana negara Arab yang menjalinkan hubungan dengan Israel.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang, Zulkifli Mohamed berkata, tindakan itu bagi membuktikan ketegasan kerajaan terhadap keganasan terbaharu pihak keselamatan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin.

"Jadi, saya fikir kerajaan Malaysia kena bertindak lebih tegas dalam hal ini, sekarang bukan zaman (setakat) hantar nota bantahan sahaja.

"Kita kena tunjukkan ketegasan kita dan memutuskan hubungan diplomatik dengan negara Arab yang cenderung menyokong rejim Israel," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam kejadian malam Jumaat lalu, kira-kira 170 jemaah termasuk kanak-kanak mengalami kecederaan akibat tindakan polis Zionis melepaskan tembakan peluru getah dan bom pegun serta bom asap ketika jemaah sedang solat sunat tarawih di Masjid Al-Aqsa.

Bagaimanapun, laporan Palang Merah Palestin memaklumkan jumlah mangsa cedera akibat serangan itu mungkin lebih daripada laporan awal media tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ratusan rakyat Palestin cedera ditembak polis Israel

Bantah konfrontasi melampau rejim Zionis di al-Aqsa

Zulkifli berkata, serangan tidak bertamadun ketika umat Islam Palestin menunaikan solat sunat tarawih bukanlah berlaku sekali dua, tetapi boleh dikatakan seperti 'acara tahunan' Zionis setiap kali bulan Ramadan.

Menurutnya, sikap biadab rejim Zionis sentiasa dilindungi kuasa besar dunia yang turut mempunyai hubungan rapat dengan negara Timur Tengah seperti Arab Saudi dan Emeriyah Arab Bersatu (UAE).

"Mereka (rejim Zionis) sudah lali dengan kecaman masyarakat dunia, jadi tidak perlu buang masa dengan hantar nota bantahan atau demonstrasi di depan kedutaan yang pro Israel.

"Kita perlu desak negara anggota OIC dan Liga Arab memutuskan hubungan diplomatik dengan negara Israel secepat mungkin, selain meminta mereka (rejim Zionis) menghentikan serta-merta tindakan kejam terhadap umat Islam Palestin," katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, sikap membisu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bukanlah menghairankan kerana pertubuhan itu dikuasai pelobi Israel.

"Setakat PBB, kita tidak hairan sangatlah kerana mereka memang bukan rahsia, pro Israel.

"Yang kita pelik, negara Timur Tengah yang menjadi ahli Liga Arab dan negara Islam yang menjadi ahli Pertubuhan Islam Antarabangsa (OIC) pun diam membisu bila kejadian seperti ini berlaku di sana (Palestin)," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!