Sekatan rentas daerah sukarkan peniaga kecil

Noorsyakella (kanan) dan kakaknya, Suhana (kiri) menunjukkan bahulu yang dijual mereka di Pasar Am Beaufort.
Noorsyakella (kanan) dan kakaknya, Suhana (kiri) menunjukkan bahulu yang dijual mereka di Pasar Am Beaufort.
A
A
A

BEAUFORT - Meskipun kerajaan telah memberi kelonggaran untuk peniaga meneruskan perniagaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, namun ia tetap memberi kesan kepada peniaga kecil yang mengusahakan kuih muih tradisional di musim perayaan.

Keputusan kerajaan mengenakan sekatan antara zon dan terbaharu sekatan antara daerah menyebabkan peniaga sukar untuk memasarkan produk mereka sendiri ke luar daerah.

Jika tahun sebelumnya, kebanyakan kuih muih tradisional seperti bahulu, cha-cha atau bunga ros, rempeyek, kuih sapit serta beberapa jenis biskut hidangan popular ketika sambutan hari raya akan dihantar ke daerah lain, namun kali ini rata-rata peniaga akur dengan arahan kerajaan untuk tidak merentas daerah atau negeri bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Menurut peniaga, Noorsyakella Daineh, 30, biasanya, seminggu sebelum hari raya, mereka bukan sahaja sibuk menyiapkan tempahan kuih muih tradisional tetapi dalam masa sama akan bergerak ke luar daerah untuk menghantar tempahan kepada pelanggan.

Suhana dan Noorsyakella melayan pelanggan yang datang membeli bahulu di gerai mereka di Pasar Am Beaufort.
Suhana dan Noorsyakella melayan pelanggan yang datang membeli bahulu di gerai mereka di Pasar Am Beaufort.

"Sebelum ini, saya akan menerima tempahan mencecah sehingga RM6,000 untuk kuih bahulu terutama dari Labuan dan akan menghantarnya sendiri dengan menaiki perkhidmatan feri atau bot kepada pelanggan.

"Tetapi kali ini, kami hanya bergantung kepada tempahan dari pelanggan tempatan dan mengehadkan tempahan dari Labuan kerana tidak dapat menghantarnya sendiri sebaliknya terpaksa menumpangkan kuih muih menggunakan kenderaan rakan yang berulang alik dari Beaufort ke Labuan," katanya ketika ditemui di gerai di Pasar Am Beaufort di sini pada Ahad.

Sementara itu, kakaknya, Suhanah, 44, pula berkata, tempahan kuih tradisional kali ini tidak semeriah seperti tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

"Biasanya, kuih bahulu paling banyak mendapat sambutan orang ramai tetapi mungkin disebabkan ramai tidak dapat pulang ke kampung jadi tempahan menyusut sedikit.

"Sejak pandemik tahun lalu, kami cuma menghasilkan 2,340 biji bahulu sehari berbanding tiga kali ganda jumlahnya pada tahun sebelumnya.

"Sekarang pula, kurang seminggu lagi hari raya, saya cuma memasarkan kuih muih di gerai kami dan bagi yang menempah secara dalam talian, kami akan siapkan tempahan kuih dan biskut sebelum diserahkan kepada pelanggan," katanya.

Kedua-dua beradik ini mengusahakan perniagaan kuih muih tradisional sejak hampir enam tahun lalu bagi meneruskan perniagaan ibu mereka yang kini terlantar akibat strok.