Polis gempur 'litar lumba' mat rempit

Sebahagian penonton bersama kenderaan masing-masing yang ditahan di lokasi dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk tindakan selanjutnya. - Foto ihsan IPD Dungun (Gambar kecil: Baharudin)
Sebahagian penonton bersama kenderaan masing-masing yang ditahan di lokasi dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk tindakan selanjutnya. - Foto ihsan IPD Dungun (Gambar kecil: Baharudin)
A
A
A

DUNGUN - Dua remaja lelaki berusia 17 tahun antara empat mat rempit yang ditahan ketika sedang seronok beraksi selepas 'litar lumba' di Jalan Yahya Ahmad (TM Point Dungun) di sini digempur pada Sabtu.

Dalam operasi Samseng Jalanan yang bermula sekitar jam 12 tengah malam itu, turut ditahan 74 penonton yang sedang leka menyaksikan perlumbaan dengan pelbagai aksi berbahaya yang digayakan keempat-empat lelaki berusia 17 hingga 26 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, lokasi tersebut dikesan dijadikan 'litar lumba' dan tempat berkumpul golongan muda terutama pada hujung minggu.

"Sebelum ini pihak kami menerima banyak aduan daripada penduduk berhampiran yang mendakwa sering diganggu bunyi bising terutama pada setiap malam minggu.

"Hasil aduan itu juga, kami menjalankan risikan dan pemantauan sebelum mendapati sememangnya lokasi itu dijadikan pilihan mat rempit untuk beraksi seperti wheelie, zig zag dan lain-lain seawal jam 12 tengah malam sehingga awal pagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Operasi disertai 26 anggota dan tiga pegawai itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dengan kekuatan seorang pegawai dan 12 anggota selain mendapat bantuan beberapa anggota dan pegawai di lain-lain daerah seramai 12 orang keseluruhannya.

Beliau berkata, dalam serbuan di lokasi yang dibuat kira-kira jam 4 pagi itu, sebanyak 66 motosikal disita iaitu 62 disita di bawah Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan empat lagi di bawah Seksyen 42 APJ 1987.

"Dalam operasi bersepadu ini juga polis mengeluarkan 125 saman POL 257 atas pelbagai kesalahan antaranya cermin sisi (16), nombor pendaftaran (34), ubai suai aksesori (10), tiada lesen (28), gagal tunjuk lesen (2), tiada perlindungan insurans (8), ubah suai ekzos (5), brek tidak berfungsi (4) dan saman halangan lalulintas (7).

Artikel Berkaitan:

"Turut dikeluarkan saman kerana kesalahan tidak pamer L (1), tidak pakai topi keledar (1), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (7) dan penunggang bawah umur (2)," katanya.

Katanya, sebanyak 63 kenderaan termasuk sebuah kereta diperiksa sepanjang operasi termasuk pemeriksaan melibatkan seramai 78 individu.