Lelaki maut ditembak ceroboh kem tentera

Lokasi kejadian di hadapan Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan di Gerik. - Foto ihsan pembaca
Lokasi kejadian di hadapan Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan di Gerik. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

GERIK - Seorang lelaki bersenjatakan parang maut akibat terkena tembakan selepas dipercayai menceroboh kawasan Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 6.45 petang, suspek berusia 35 tahun itu pada awalnya telah diberikan amaran oleh anggota tentera yang melakukan kawalan di pos pengawal ketika memanjat pagar pintu hadapan kem berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek telah bertindak agresif dengan menyerang anggota tentera terbabit dengan senjata yang dibawanya.

Mior Faridalatrash Wahid
Mior Faridalatrash Wahid

"Dalam pergelutan tersebut, anggota tentera terbabit telah melepaskan tembakan dan mengenai suspek. Kejadian tersebut turut dimaklumkan kepada polis.

"Suspek telah dihantar ke Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan dan kemudiannya disahkan meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek merupakan bekas anggota tentera tetapi ditamatkan perkhidmatan pada 2013 kerana mempunyai masalah kesihatan mental.

"Polis ke lokasi terbabit bagi menyiasat punca sebenar kejadian dan merampas beberapa barang berkaitan kes tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Polis masih menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh," katanya.

Mior Faridalathrash berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 9 Akta Kawalan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

"Pihak polis akan melengkapkan kertas siasatan dan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Orang ramai diharapkan tidak membuat sebarang spekulasi hingga boleh menjejaskan siasatan kes berkenaan," katanya.