PGA rampas mercun, rokok, arak seludup bernilai lebih RM2 juta

Muhammad Abdul Halim - Foto Bernama
Muhammad Abdul Halim - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas rokok, minuman keras dan mercun yang dipercayai barang seludup bernilai lebih RM2 juta dalam enam serbuan yang dijalankan di Selangor dan Johor sejak seminggu lepas.

Komander Briged Tengah PGA Cheras, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, lapan lelaki berusia antara 33 dan 64 tahun ditahan dalam serbuan yang bermula Ahad lepas hingga Sabtu.

“Dalam serbuan pertama 2 Mei lepas, kami berjaya merampas pelbagai jenis rokok dan mercun bernilai RM135,998 dipercayai diseludup selepas menyerbu sebuah premis di Batu Pahat, Johor pada jam 2.30 petang.

“Dalam serbuan kedua pula, kami berjaya merampas pelbagai jenis mercun seludup bernilai RM509,600 di sebuah premis di Sungai Tangkas, Kajang dekat sini pada Isnin sekitar jam 4 petang,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, serbuan ketiga yang dijalankan ke atas sebuah premis di Pasir Gudang, Johor pada Jumaat lepas oleh pihaknya juga berjaya membawa kepada rampasan pelbagai jenis mercun bernilai RM115,318.

Muhammad berkata, serbuan keempat sekitar jam 11 pagi pada hari yang sama di sebuah premis di Muar, Johor membawa kepada rampasan pelbagai jenis mercun bernilai RM352,350 dipercayai diseludup dan pada jam 12.30 tengah hari pula rokok seludup bernilai RM913,000 dirampas selepas pihaknya menyerbu sebuah premis di Skudai, Johor.

Dalam serbuan petang Sabtu pula, beliau berkata, pihaknya merampas pelbagai jenis minuman keras bernilai RM288,964 selepas memeriksa sebuah lori tiga tan di Taman Desa Subang, dekat sini pada jam 4.45 petang.

Katanya, kes-kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967. - Bernama

Artikel Berkaitan: