500 kenderaan cuba masuk Kelantan diarah patah balik

Shafein (kanan) diberikan taklimat oleh anggotanya semasa mengadakan lawatan ke PKPD Bunut Susu.
Shafein (kanan) diberikan taklimat oleh anggotanya semasa mengadakan lawatan ke PKPD Bunut Susu.
A
A
A

PASIR MAS - Sebanyak 500 buah kenderaan yang cuba memasuki negeri ini diarah berpatah balik oleh polis Kelantan pada Sabtu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, tindakan itu kerana individu terlibat bukan sahaja tidak memiliki dokumen sah, malah memberikan alasan yang tidak munasabah.

"Kita juga menemui taktik baharu yang digunakan oleh pengguna jalan raya iaitu dengan mencetak dokumen merentas negeri melalui laman sesawang rasmi PDRM (Polis Diraja Malaysia) tanpa pengesahan dari mana-mana balai polis.

"Tindakan itu dilihat lebih kepada mencuba nasib, bagaimanapun kita berjaya mengesan taktik itu menerusi pemeriksaan secara teliti yang telah dilakukan oleh anggota bertugas di pintak masuk ke negeri ini menerusi sekatan jalan raya," katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau penugasan anggota keselamatan di Mukim Bunut Susu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada malam Sabtu.

Menurutnya, polis Kelantan telah mengesan sekurang-kurangnya tiga keluarga yang berbuat demikian dan telah diarahkan berpatah balik serta diberikan kompaun.

Beliau berkata, setakat ini pintu masuk yang paling sibuk ialah di Gua Musang dan Pasir Puteh.

Katanya, beliau telah mengarahkan semua ketua polis di sempadan melakukan pemeriksaan ketat supaya tiada yang dapat membolosi pintu masuk ke negeri ini dengan mudah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Artikel Berkaitan: