Bekas guru Konstabel Norhalim terkilan tak sempat minta maaf

Pengebumian Allahyarham Norhalim di tanah perkuburan Islam Felda Bukit Damar Lanchang, Sabtu. - FB polis Temerloh
Pengebumian Allahyarham Norhalim di tanah perkuburan Islam Felda Bukit Damar Lanchang, Sabtu. - FB polis Temerloh
A
A
A

TEMERLOH - Bekas guru Konstabel Norhalim Tumiran menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai sesuatu yang mengejutkan, dalam masa sama terkilan kerana tidak sempat untuk meminta maaf kerana pernah mengusiknya sebelum ini.

Idham Abdul Samat, 36, berkata, Norhalim, 24, merupakan bekas anak didiknya dalam dunia bola sepak dan merupakan tonggak utama pasukan bola sepak sekolah ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Bukit Damar, Lanchang.

"Dia (Norhalim) muncul penyerang dan pemain utama skuad Temerloh FA sebelum menyertai pasukan polis.

Idham
Idham

"Saya memang rapat dengannya walaupun tidak lagi bergelar pelajar selain juga sentiasa berhubung dengannya dan kali terakhir Allahyarham ada membuat panggilan video beramai-ramai dan saya sempat mengusiknya namun Norhalim tidak pernah terasa hati dengan gurauan itu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Konstabel baru pindah Sibu mati tertembak oleh rakan

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas solat jenazah di Masjid Felda Bukit Damar, Lanchang di sini pada Sabtu.

Allahyarham Norhalim selesai dikebumikan kira-kira jam 10.30 malam di tanah perkuburan Islam di Felda tersebut.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said dan Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman.

Suasana pilu menyelubungi sebaik jenazah tiba di pekarangan masjid kira-kira jam 8.47 malam dan isteri Allahyarham Norhalim, Nurfitrah Ramli, 24, kelihatan menangis hiba bersama ahli keluarga lain.

Sebelum itu, jenazah selamat mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, Selangor dari Sibu, Sarawak kira-kira jam 4.40 petang, Sabtu.

Sementara itu rakan baik Norhalim, Shahrin Sharif, 24, memberitahu Allahyarham ada membuat panggilan video beramai-ramai pada hari kejadian tetapi tidak dapat sertai kerana sibuk.

"Kehilangannya sangat dirasai kerana kami telah berkawan baik sejak kecil hingga kini dan Allahyarham memang bercita-cita menjadi anggota polis," ujarnya menyifatkan Norhalim seorang yang pemalu dan disenangi.

Dalam pada itu, Ismail mengharapkan keluarga Allahyarham Norhalim tabah dengan kehilangan tersebut selain memberikan jaminan nasib keluarga itu mendapat perhatian sewajarnya.

Allahyarham Norhalim meninggalkan seorang isteri, Nurfitrah dan seorang anak perempuan, Nur Alisya, setahun dua bulan.

Dalam kejadian Khamis lalu, Konstabel Norhalim maut selepas terkena tembakan di sebuah rumah di Sibu, Sarawak.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis mati tertembak: Tiga rakan direman 14 hari

'Suami sudah belikan pakaian raya, bayar zakat fitrah'