Beli persiapan raya waktu pagi elak sesak

Suasana dalam sebuah kedai pakaian yang kurang sesak pada sebelah pagi memberi keselesaan kepada pelanggan untuk memilih pakaian raya masing-masing.
Suasana dalam sebuah kedai pakaian yang kurang sesak pada sebelah pagi memberi keselesaan kepada pelanggan untuk memilih pakaian raya masing-masing.
A
A
A

KUANTAN - Orang ramai tidak melepaskan peluang cuti hujung minggu untuk keluar lebih awal membeli persiapan Aidilfitri bagi mengelak kesesakan.

Tinjauan Sinar Ahad di beberapa premis menjual pakaian di sekitar bandar Kuantan pada Sabtu mendapati ada pengunjung datang lebih awal sebelum kedai dibuka.

Seorang suri rumah, Akmal Syafika Jamaluddin, 30, dari Bukit Setongkol di sini berkata, dia dan suami, Mohd Azrin Zulkifli, 30, datang lebih awal ke kedai pakaian yang menjadi pilihan mereka untuk membeli pakaian raya.

Menurutnya, persiapan lain disiapkan lebih awal secara ala kadar kerana sudah menjangkakan sambutan Aidilfitri kali ini tidak semeriah dahulu.

“Semangat raya tetap ada dan jika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun, kami tetap beraya walaupun sekadar dalam rumah sahaja,” katanya.

Bagi Mohd Azrin, walaupun ramai yang menunggu waktu malam untuk keluar membeli persiapan raya di bazar Aidilfitri, dia tetap memilih awal pagi untuk berbelanja di premis pilihan.

“Seboleh-bolehnya saya cuba elak suasana sesak bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19. Dalam keghairahan hendak beraya, kita tidak boleh leka dengan ancaman virus ini. Sama-sama jaga diri dan ambil langkah membendung penularannya,” katanya.

Sementara itu, seorang penjawat awam, Noraini Che Hussin, 50, berkata, dia dan keluarga tetap membuat persiapan untuk sambutan Aidilfitri kali ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, walaupun akan menyambut secara ala kadar, dia akan memastikan anak-anak bergaya dengan pakaian raya.

“Sekurang-kurangnya ada suasana raya walaupun tidak dapat balik kampung,” kata ibu kepada lima anak dari Batu 11 di sini.