Israel usir penduduk Palestin

Penduduk Palestin bertempur dengan pihak berkuasa Israel selepas menentang pengusiran penduduk Palestin. - AFP
Penduduk Palestin bertempur dengan pihak berkuasa Israel selepas menentang pengusiran penduduk Palestin. - AFP
A
A
A

BAITULMAQDIS - Pada awal tahun ini, sebuah mahkamah Israel di daerah Baitulmaqdis membuat keputusan bahawa rumah-rumah penduduk Palestin di kawasan penempatan Sheikh Jarrah adalah sah milik beberapa pendatang haram Israel.

Mahkamah itu membuat keputusan dengan hakim menyatakan bahawa pembelian tanah itu telah dibuat oleh golongan itu semasa Palestin berada di bawah pemerintahan British.

Ketika itu, Israel belum lagi wujud, namun kerajaan sementara Tel Aviv mengisytiharkan ia menjadi sebuah negara haram pada tahun 1948 dan diiktiraf oleh Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1948 dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setahun selepas itu.

Keputusan mahkamah itu dibuat ketika Baitulmaqdis Timur ditadbir secara haram oleh Israel dan selepas ia dirampas dari Jordan termasuk Tebing Barat yang diduduki oleh rejim Zionis setelah Perang Enam Hari pada 1967.

Dalam perang itu juga, Israel turut merampas Genting Gaza yang berada di bawah kawalan Mesir.

Menurut laporan AFP, penduduk Israel yang membuat tuntutan itu pula mendakwa keluarga mereka kehilangan hak ke atas tanah-tanah tersebut dalam perang yang menyaksikan kewujudan negara Israel pada tahun 1948.

Ekoran perang itu, ribuan penduduk Palestin terpaksa meninggalkan rumah masing-masing manakala undang-undang Israel membenarkan penduduk Yahudi mendapatkan semula harta benda di Baitulmaqdis Timur jika berjaya membuktikan ia memang menjadi hak mereka sebelum tahun 1948.

Dalam pada itu, mahkamah daerah Baitulmaqdis Timur itu juga memutuskan enam keluarga Palestin perlu mengosongkan rumah pada hari ini walaupun telah tinggal selama beberapa generasi di Sheikh Jarah.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah yang sama juga membuat keputusan bahawa tujuh lagi anggota keluarga perlu meninggalkan rumah masing-masing menjelang 1 Ogos depan.

Jordan turut campur tangan dalam kes perbicaraan tanah itu dengan mengemukakan dokumen bagi membuktikan tanah-tanah itu sebenarnya milik penduduk Palestin.

Penunjuk perasaan Palestin berhimpun bagi membantah tindakan Israel merampas tanah penduduk Palestin di Sheikh Jarrah. - AFP
Penunjuk perasaan Palestin berhimpun bagi membantah tindakan Israel merampas tanah penduduk Palestin di Sheikh Jarrah. - AFP

Keluarga-keluarga Palestin itu juga menunjukkan bukti bahawa mereka memperoleh rumah-rumah tersebut dari pihak berkuasa Jordan.

Krisis pengusiran penduduk Palestin dari Baitulmaqdis Timur oleh Israel telah berlaku sejak 1950-an lagi apabila sejumlah 37 keluarga Palestin yang tinggal di 27 rumah di Sheikh Jarrah termasuk 28 keluarga pelarian Palestin diusir dari kediaman masing-masing di Jaffa dan Haifa pada 1948.

Pada 1956, penduduk Palestin itu juga dilaporkan telah mendirikan rumah mereka di Baitulmaqdis Timur itu di bawah satu perjanjian dengan kerajaan Jordan dan Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian (UNRWA).

Pada tahun tersebut, beberapa pertubuhan pendatang haram Yahudi memfailkan satu tuntutan undang-undang ke atas penduduk Palestin yang mendakwa tanah diduduki mereka adalah milik orang Yahudi.

Pertubuhan-pertubuhan itu yang kebanyakannya mendapat dana daripada AS telah menyebabkan 43 penduduk Palestin diusir pada tahun 2002 termasuk dua buah keluarga pada tahun 2008 disusuli sebuah lagi keluarga pada 2017.

Menurut kumpulan Ir Amim, kira-kira 600 pengusiran termasuk 75 keluarga Palestin di Sheikh Jarrah berlaku dan sedang diteliti oleh Kementerian Kehakiman rejim Zionis.

Rancangan untuk menambah populasi pendatang haram Yahudi di Baitulmaqdis Timur telah bermula sejak tahun 1973 lagi ketika pemerintahan Perdana Menteri wanita Israel, Golda Meir.

Kira-kira 200,000 penduduk Yahudi dilaporkan tinggal di Baitulmaqdis Timur dan mendapat perlindungan polis serta tentera termasuk di sebuah kompleks penempatan dihuni seramai 44,000 penduduk Palestin.

Pada tahun lalu, 170 struktur bangunan milik penduduk Palestin dilaporkan dimusnahkan oleh rejim Zionis termasuk 105 buah rumah yang menyebabkan 385 penduduk hilang tempat tinggal.

Pada akhir minggu lalu, agensi berita Wafa melaporkan lebih 100 peneroka haram Yahudi diiringi polis Israel bertindak merampas harta benda penduduk Palestin dan tanah di kawasan penduduk Silwan, Baitulmaqdis Timur.

Susulan provokasi yang semakin meningkat, PBB menegaskan tindakan Israel jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Seorang penunjuk perasaan Palestin ditangkap oleh anggota keselamatan Israel dalam tunjuk perasaan membantah pengusiran keluarga Palestin di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur baru-baru ini. - AFP
Seorang penunjuk perasaan Palestin ditangkap oleh anggota keselamatan Israel dalam tunjuk perasaan membantah pengusiran keluarga Palestin di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur baru-baru ini. - AFP

Jurucakap badan dunia itu, Rupert Colville berkata di Geneza, Switzerland pada Jumaat lalu bahawa pihak yang menceroboh mana-mana wilayah di dunia tidak boleh merampas harta benda peribadi penduduk.

Beliau juga mendesak Tel Aviv menghentikan dasar merampas tanah milik penduduk Palestin selain menegaskan bahawa Baitulmaqdis masih merupakan wilayah yang diduduki oleh Israel.

Krisis yang semakin meruncing itu telah mencetuskan siri tunjuk perasaan penduduk Palestin dan pertempuran dengan pihak berkuasa rejim Zionis selepas mereka membantah tindakan pengusiran empat keluarga Palestin di Sheikh Jarrah.

Dalam pada itu, pemimpin sayap bersenjata Hamas, Mohammed Deif memberi amaran beberapa hari lalu kepada Israel bahawa rejim Zionis akan menerima padah kerana mengusir penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur.

Beliau membuat kenyataan tersebut buat pertama kali setelah bersembunyi lebih dua dekad selepas terselamat dalam cubaan bunuh didalangi rejim Zionis.