Bazar raya lengang, pengunjung berkurangan

Keadaan persekitaran Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India di ibu negara lengang daripada dikunjungi orang ramai.
Keadaan persekitaran Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India di ibu negara lengang daripada dikunjungi orang ramai.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persiapan pada minggu terakhir Ramadan biasanya meriah dengan kunjungan orang ramai sama ada di pusat membeli-belah atau bazar raya bagi membeli kelengkapan Aidilfitri.

Sudah pasti lokasi-lokasi tumpuan itu penuh sesak dengan orang ramai yang mahu memastikan persiapan hari raya mereka serba lengkap.

Bagaimanapun, susulan peningkatan kes Covid-19 di negara ini dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa kawasan dan negeri termasuk Kuala Lumpur dan Selangor, suasana membuat persiapan Aidilfitri tidak semeriah dahulu.

Ini boleh dilihat apabila kehadiran pengunjung di pusat beli-belah dan bazar raya lengang, tidak seperti sebelum ini.

Tinjauan Sinar Ahad di Bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini atau lebih dikenali dengan Jalan TAR setakat jam 3 petang Sabtu mendapati jumlah pengunjung berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Beberapa pengunjung yang ditemui mengakui pandemik Covid-19 telah mengubah suasana dan kemeriahan sambutan perayaan di negara ini.

Keadaan bazar Aidilfitri di sekitar Jalan TAR, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Keadaan bazar Aidilfitri di sekitar Jalan TAR, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Salah seorang pengunjung, Muhd Alif Haikal Mukhsin, 28, berkata, Jalan TAR yang penuh sesak setiap kali musim hari raya kini bertukar suram dengan jumlah pengunjung yang berkurangan.

Artikel Berkaitan:

“Selalunya hujung minggu ramai orang, tapi kali ini lengang. Kebanyakan peniaga yang ditemui juga mengeluh mengatakan bahawa jualan mereka merosot kerana jumlah pengunjung berkurangan,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Hajar Umira, 24, berkata, sambutan Aidilfitri kali ini agak menyedihkan berbanding tahun-tahun sebelumnya susulan pelaksanaan PKP.

“Hari ini (Sabtu) saya berada di Jalan TAR dan suasananya cukup berbeza. Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum hari raya tetapi suasananya seperti di pertengahan Ramadan,” katanya.

Bagi Rohani Hassan, 48, dia turut mengakui kemeriahan persiapan Aidilfitri kurang dirasai kerana kawasan tumpuan seperti pasar raya, kedai pakaian dan bazar Aidilfitri kurang menerima pengunjung walaupun pelbagai tawaran diberikan.

“Pastinya persiapan dan sambutan Aidilfitri seperti tahun-tahun sebelum ini dirindui. Saya harapkan pada tahun depan kita terhindar daripada Covid-19 dan dapat bersama keluarga dan rakan-rakan untuk merayakan dengan penuh kegembiraan,” katanya.