Kembali kepada fitrah

No Image Caption
A
A
A

SETELAH hampir sebulan berpuasa, minggu hadapan umat Islam akan merayakan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan. Ibadat puasa di bulan Ramadan diibaratkan suatu ‘madrasah’ atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa.

Bukan sahaja menahan lapar dahaga malah juga mengekang hawa nafsu daripada merajai jiwa. Disiplin yang di pupuk oleh madrasah Ramadan ini amat kental kerana umat Islam bukan hanya berpuasa di khalayak awam tetapi juga apabila bersendirian. Inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia dan amanah.

Manifestasi kemuliaan Ramadan dapat dilihat daripada sudut amalan umat Islam seperti bersolat tarawih, bersedekah, bertadarus al-Quran dan banyak lagi walaupun kita masih dibelenggu pandemik Covid-19. Walaupun amalannya dikawal tidak seperti sebelum pandemik Covid-19, ia pasti tidak akan mengurangkan berkat daripada ALLAH SWT.

Bagi yang merayakan Aidilfitri tanpa orang tersayang, perayaan ini masih tetap diteruskan memandangkan ia adalah tuntutan hukum syarak. Namun sudah tentulah kehibaan di jiwa tidak dapat dielakkan semasa menyambut Aidilfitri. Tidak kurang hiba juga bagi mereka yang tidak pulang ke kampung pada tahun ini kerana tidak dibenarkan merentas daerah dan negeri.

Dari segi bahasanya, Aidilfitri bermakna kembali kepada fitrah. Kita sebenarnya kembali kepada fitrah iaitu suci dan bebas daripada dosa. Namun ramai juga kita yang kecundang dan gagal mendapat pengiktirafan dari madrasah Ramadan ini apabila mereka kembali kepada fitrah iaitu sikap negatif yang diamalkan sebelum Ramadan.

Mereka kembali kepada kehidupan penuh dosa dan menindas golongan lemah, makan makanan yang tidak tentu halalnya dan dari sumber yang diragukan. Golongan ini adalah golongan yang sangat rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada ajaran ALLAH SWT.

Pada hari kemenangan ini nanti, jangan dilupa golongan yang tidak bernasib baik. Semangat persaudaraan Islam mesti diutamakan di samping mengeratkan silaturahim sesama umat Islam. Golongan kurang bernasib baik ini juga berhak merayakan Aidilfitri seadanya.

Aidilfitri bukanlah semata-mata suatu adat, tetapi lebih kepada ibadat berasaskan sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia merupakan suatu ibadat, hari besar ini wajar dipenuhi dengan ibadat yang dituntut ALLAH. Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim, ia tidak hanya berborak-borak, tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah.

Artikel Berkaitan:

Pemborosan dan pembaziran semata-mata bagi menyambut Aidilfitri sebenarnya adalah tergelincir dari apa dianjurkan Islam. Islam menggalakkan umatnya merayakan hari kemenangan ini, tetapi dalam sukatan dan kadar tidak menjurus kepada pembaziran. Alangkah baiknya jika wang lebihan itu digunakan bagi manfaat perjuangan Islam dan membantu golongan memerlukan.

Dalam keghairahan meraikan Aidilfitri, sewajarnya kita merenung sejenak apakah kita akan berjumpa lagi Ramadan akan datang? Apakah pula persiapan kita menemui Tuhan Maha Pencipta? Kebeningan Ramadan sudah pasti dirindui dan syahdunya menunggu Ramadan tahun hadapan. Tiada janji pasti kita akan bertemunya lagi. Segala-galanya terserah kepada qada’ dan qadar-Nya.

Ramadan tahun ini terlalu banyak dugaannya sehingga ramai yang tidak dapat menumpukan kepada ibadat berpuasa. Isu SOP Covid-19, PRU, PKP, perbalahan politik dan pergeseran pandangan masih mendominasi minda dan kelakuan ramai, acapkali akhlak dan tertib dipinggirkan.

Masih ramai lagi yang teruja dengan ilmu yang dimilikinya mengenepikan adab di dalam berbeza pandangan sedangkan sebenarnya ilmu itu sendiri bukanlah miliknya tetapi milik ALLAH SWT.

Bukanlah kita tidak boleh berseronok meraikan Aidilfitri tetapi tujuan utama untuk mengabdikan diri kepada ALLAH SWT janganlah dikesampingkan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.