Bom jangka sudah meletup

No Image Caption
A
A
A

PENGUMUMAN pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mei 2021 di beberapa negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Kedah dan Kelantan dan larangan pulang berhari raya ke kampung ibarat bom jangka yang telah meletup.

Sejak beberapa bulan lalu ditanam persepsi bahawa kerajaan gagal menguruskan pandemik Covid-19 sebaik mungkin. Persepsi ini menjadi kuat kerana kerajaan tidak mampu menerangkan sebaik mungkin mengenai keputusan yang dibuat.

Kesilapan terbesar kerajaan adalah menggunakan terma PKP sedangkan ia jelas lebih kepada PKP Bersyarat. Sebaik sahaja dinamakan PKP maka ramai yang menganggap ia seperti PKP 1.0

Ini diburukkan lagi dengan keadaan sekarang, kerajaan bukan sahaja ‘diserang’ musuh politik, tetapi juga oleh ‘sekutu’ mereka dalam kerajaan.

Ramai yang tidak faham Malaysia seperti kebanyakan negara lain yang mempunyai sempadan ‘terbuka’ dan mudah dimasuki pendatang tanpa izin akan berhadapan kesukaran mengawal penularan pandemik ini.Menutup semua aktiviti perniagaan selama sebulan atau dua tidak akan menjadikan negara ini bebas Covid-19. Ini terbukti selepas PKP pertama (PKP 1.0) pada Mac – Mei 2020, kes kembali meningkat sedikit demi sedikit.

Apabila kes meningkat ke empat angka setiap hari, sebahagian rakyat mula bimbang dan menyokong cadangan agar diadakan PKP 1.0. semula.

Kerajaan tidak boleh menyalahkan rakyat sepenuhnya kerana mereka diajar dan didorong sedemikian rupa. Ini kerana sejak 18 Mac 2020, rakyat dihidangkan reality show pengumuman kenaikan dan penurunan angka-angka jangkitan Covid-19 seperti kita menyaksikan kedudukan Liga Perdana Inggeris.

Namun setelah lebih setahun pandemik ini melanda dunia, kita telah tahu bahawa ia sukar hilang sepenuhnya kecuali vaksinasi beramai-ramai yang bakal mewujudkan kekebalan kelompok.

Artikel Berkaitan:

Satu lagi langkah ialah mengadakan PKP 1.0 yang bermaksud pengurungan dalam rumah untuk semua orang bagi tempoh sebulan hingga dua bulan. Ini sudah tentu menyenangkan pihak berkuasa kesihatan negara.

Namun ia mempunyai implikasi ekonomi yang sukar ditanggung lagi oleh kerajaan. Dalam PKP 1.0 negara mengalami kerugian RM2.4 bilion setiap hari sepanjang pelaksanaannya.

Dalam masa sama, hampir 30,000 perniagaan ditutup dan mengikut data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hampir 100,000 orang hilang pekerjaan. Ini belum termasuk mereka yang tidak berdaftar dengan Perkeso. Jumlah hilang pekerjaan dianggarkan ratusan ribu orang.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia 2020 menyusut -5.6 peratus berikutan perintah sekatan dan penutupan sempadan di peringkat global. Ia mungkin menjadi lebih tinggi jika tidak kerana pembukaan sektor ekonomi mulai suku ketiga 2020.

Sebarang penutupan penuh sektor ekonomi seperti Mac 2020 akan menyebabkan langkah pemulihan ekonomi negara akan kembali kepada Mei 2020. Agak sukar untuk Malaysia mengulangi langkah yang sama.

Apa yang kerajaan lakukan sekarang ialah untuk mewujudkan keseimbangan antara keperluan penjagaan kesihatan dengan memastikan aktiviti ekonomi negara terus berlangsung.

Apa yang rakyat perlu fahami ialah tidak penting berapa angka positif sekarang sama ada 1,000 atau 4,000 orang sehari.

Apa yang penting ialah kemampuan sistem kesihatan negara memberi rawatan yang diperlukan. Selagi sistem kesihatan masih mampu memberi rawatan kepada pesakit Covid-19, maka ekonomi negara harus terus dibuka.

Ini adalah keseimbangan yang perlu dibuat kerajaan bagi memastikan kepentingan majoriti rakyat Malaysia terbela.

Kita perlu terus mengamalkan SOP Covid-19 bagi mengurangkan penularan, namun jangan sesekali cemas dan menggalakkan kerajaan menutup aktiviti ekonomi.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)